Rabu, 30 Jun 2021

Brunei sumbang kelengkapan perubatan RM1.7 juta

KERAJAAN Brunei Darussalaman memberi sumbangan bernilai RM1.7 juta kepada Malaysia dalam alat bantuan pernafasan dan PCR Covid-19.

Ketika memaklumkan perkara Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peralatan tersebut akan ditempatkan di hospital kerajaan di Wilayah Persekutuan, Labuan dan Sarawak.

Katanya, beliau hari ini mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatannya, Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof berhubung sumbangan tersebut.

‘’Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya telah menzahirkan ucapan terima kasih terhadap keprihatinan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Kerajaan Brunei Darussalam sebagai negara jiran terdekat Malaysia. 

‘’Saya berharap sumbangan yang berharga ini akan membantu sistem kesihatan Malaysia di Labuan, Sabah dan Sarawak dalam mendepani situasi semasa,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, Malaysia amat menghargai sokongan penuh dan kerjasama berterusan daripada Kerajaan Brunei Darussalam dalam menangani penularan pandemik Covid-19. 

‘’Melalui sumbangan ini, saya percaya hubungan sedia ada di antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam akan diperkukuhkan lagi demi kepentingan rakyat kedua-dua negara.

Dato Erywan dan saya juga telah memperbaharui komitmen kedua-dua negara untuk terus bekerjasama dan saling membantu terutamanya dalam situasi semasa pandemik Covid-19,’’ katanya.

Beliau berkata, sejak Mac 2020, Negara Brunei Darussalam merupakan antara negara pertama yang bekerjasama dengan Malaysia untuk mendepani cabaran serta impak berikutan penularan pandemik COVID-19. 

‘’Antaranya termasuklah beberapa misi repatriasi rakyat kedua-dua negara dari Arab Saudi, India, Kemboja, Mesir, dan Sri Lanka serta memudahcara urusan pulang rakyat kedua-dua negara ke Malaysia dan Brunei.

‘’Sumbangan Brunei ini mempamerkan hubungan diplomatik erat dan istimewa yang telah terjalin selama 37 tahun antara kedua-dua negara. Ini turut menunjukkan komitmen tinggi kedua-dua negara sebagai negara anggota ASEAN dalam menangani krisis Covid-19,’’ katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.