Sabtu, 29 Mei 2021

Hulu Terengganu bertukar zon merah kerana rentas negeri, daerah

MGF16012021_SJR-JALAN-AMPANG_-16
Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Pernah menjadi satu-satunya daerah zon hijau di Malaysia, siapa sangka sekelip mata sahaja Hulu Terengganu bertukar status kepada zon merah disebabkan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata disebabkan kedegilan sesetengah individu yang masih merentas negeri dan melakukan ziarah raya pada Aidilfitri, akhirnya seluruh mukim Kuala Berang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan COVID-19 yang lebih besar.

“Sehingga kini terdapat 124 kes aktif COVID-19 yang disumbangkan oleh lima kluster aktif di Hulu Terengganu. Antaranya Kluster LH yang berpunca akibat individu pulang berhari raya dari Johor menyebabkan 24 penduduk Hulu Terengganu disahkan positif.

“Satu lagi kluster berlaku di sebuah taman perumahan disebabkan tindakan individu yang balik beraya di Bentong, Pahang dan selepas itu tergamak pula menziarahi jiran tetangga. Akhirnya enam orang disahkan positif dan kontak rapat juga menjangkau ratusan orang,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Rentas negeri individu yang pulang beraya dari Melaka ketika sedang bergejala juga menyebabkan wujudnya satu kluster baharu di Mukim Hulu Telemong dan sehingga kini ia menular ke sebuah pejabat dengan 10 pekerja di pejabat itu disahkan positif, katanya lagi.

Seterusnya Dr Nor Azimi berkata di Mukim Tanggol pula, seramai 14 orang disahkan positif COVID-19 setelah menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia di daerah Marang dan mendapat jangkitan tersebut ketika itu.

“Kalau betul ada keperluan untuk ziarah kematian, memadai seorang atau dua orang sahaja pergi dan latihlah SOP sepenuhnya. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan jangkitan terus menular ke masjid pula setelah seorang bilal dan jemaah disahkan positif,” katanya.

Semalam, Terengganu merekodkan pertambahan 207 kes baharu COVID-19 dan dua kes kematian menjadikan terdapat 1,911 kes aktif di seluruh negeri.

Seramai 1,900 pesakit itu berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala 11 lagi pesakit menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah dan empat daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.— BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.