Isnin, 31 Mei 2021

Pasar Awam Bukit Mertajam tutup, 3 peniaga positif Covid-19

Bukit Mertajam: Pasar awam di sini ditutup sembilan hari mulai 2 petang ini, selepas tiga peniaga disahkan positif Covid-19.

Datuk Bandar Seberang Perai Datuk Rozali Mohamud berkata, penutupan pasar itu sehingga 8 Jun bagi membolehkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah melakukan pengesanan kontak rapat dan menjalankan aktiviti saringan, selain untuk kerja sanitasi.

Beliau juga meminta mana-mana peniaga yang juga kontak rapat kepada pesakit untuk menjalani ujian calitan dengan segera atau menghubungi Bilik Gerakan PKD Seberang Perai Tengah di talian 04-5397884 untuk mendapatkan janji temu.

"Selain itu, mana-mana peniaga atau pengunjung yang ingin melakukan ujian saringan boleh berbuat demikian di klinik swasta dan memaklumkan hasil keputusan kepada MBSP untuk tujuan rekod dan tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan peniaga yang diarah untuk menghadiri ujian calitan Covid-19 supaya menghadirkan diri dan operasi mengesan mereka akan dilakukan dengan bantuan pasukan keselamatan sekiranya mereka ingkar.

"Sekiranya mereka ingkar, tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Dalam pada itu, katanya meminta kerjasama Perbadanan Pengurusan (MC) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) di kawasan pentadbirannya untuk memaklumkan kepada Bilik Gerakan Daerah Seberang Perai Utara di talian 04-5751833, Seberang Perai Tengah (04-5397884) dan Seberang Perai Selatan (04-5943351) sekiranya terdapat kes positif Covid-19 di kejiranan masing-masing.

Usia 12 tahun sudah ketagih rokok

Georgetown: Berusia 12 tahun sudah menjadi perokok tegar, begitu aduan yang diterima Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) daripada ibu bapa di negeri ini yang risau mengenai aktiviti tidak sihat anak mereka.

Ibu bapa berkenaan turut melaporkan bimbang anak mereka tidak dapat menghentikan tabiat itu pada usia berkenaan.

Pegawai Pendidikan CAP NV Subbarow mendedahkan bahawa menerusi aduan daripada ibu bapa itu turut mendakwa anak mereka akan marah dan bertengkar sekiranya diberitahu mengenai bahaya rokok dan rokok elektronik (vape).

"Ramai ibu bapa yang mengadu kecewa kerana tidak dapat 'menyembuhkan' tabiat menghisap rokok dalam kalangan anak mereka," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Subbarow berkata, kanak-kanak itu menghabiskan kira-kira RM50 sehingga RM150 sebulan bagi rokok dan rokok elektronik.

Katanya, ibu bapa juga mendakwa anak mereka berbohong ketika meminta wang bagi membeli rokok dengan mengatakan bahawa ada kelas tambahan dan perlu membeli buku.

"Timbul persoalan bagaimana mereka mendapatkan wang sejumlah bagi membeli rokok dan vape.

"Penuntut universiti membeli rokok dan peralatan vape dengan menggunakan dana biasiswa pendidikan yang tersedia kepada mereka.

"Ia seperti bom jangka kerana jika tidak dicegah, mungkin kita sudah tidak dapat melihat komuniti belia yang sihat pada masa depan, " katanya lagi.

Menurut Subbarow, bagi menasihati anak-anak, ibu bapa dicadangkan supaya bercakap dengan nada rendah sebelum mendidik mengenai bahaya rokok dan vape.

"CAP terus mendesak kerajaan bagi mengharamkan rokok dan vape terutama dalam kalangan pembeli bawah umur serta menjadikan kita sebagai pemenang dan bukan sebagai pesakit," katanya.

Pengurus media sosial Noor Kartini, Zulshafiqah tampil mohon maaf!

Kuala Lumpur: Pengurus media sosial akaun Instagram Datin Noor Kartini Noor Mohamed dikenali, Zulshafiqah Zulkafli membuat permohonan maaf menerusi Instagramnya selepas tular isu berhubung tangkap layar di media sosial Instagram ibu Noor Neelofa itu yang dikatakan menghina Sistem Raja Berpelembagaan.

Dalam hantaran itu, Zulshafiqah membuat permohonan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Johor. 

"Dengan ini, saya Zulshafiqah Zulkafli, Pengurus Media Sosial bagi akaun Instagram Datin Noor Kartini Noor Mohamed menyatakan permohonan maaf saya kepada  Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta'in Billah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan seluruh Kerabat DiRaja Johor, serta Datin Noor Kartini Noor Mohamed dan seluruh keluarga.

"Saya dengan ini bahawasanya ingin menyatakan permohonan maaf saya berkenaan isu yang tular di media sosial hari ini (semalam) berhubung tangkap layar di media sosial Instagram Datin Noor Kartini Noor Mohamed," tulisnya.

Zulshafiqah yang mengakui salah memuat naik tangkap layar itu juga berkata, gambar dan tulisan asal yang dipaparkan bukan tulisannya. 

"Saya secara jujur ingin menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku. Saya adalah Pengurus Media Sosial akaun Instagram Datin Noor Kartini dan tersilap memuat naik tangkap layar. 

"Tangkap layar itu adalah bertujuan untuk rujukan saya sahaja, tiada sebarang niat untuk dimuat naik di Instagram Datin Noor Kartini mahupun Instagram peribadi saya. 

"Saya juga mahu menjelaskan, gambar dan tulisan asal yang dipaparkan adalah bukan dari penulisan saya mahupun Datin Noor Kartini sendiri," tulisnya. 

Dalam hantaran sama, Zulshafiqah menjelaskan bahawa dia sudah memberi kenyataan dan kerjasama kepada pihak polis yang melakukan siasatan. 

"Saya juga sudah memberi kenyataan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu menyelesaikan siasatan berhubung isu yang tular ini.

"Saya juga dengan rendah diri memohon maaf kepada Datin Noor Kartini Noor Mohamed serta keluarga di atas kecuaian saya yang menimbulkan masalah kepada Datin Noor Kartini sekeluarga. 

"Dengan ini saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama dan sekali lagi memohon maaf atas keralatan dan kesilapan yang berlaku," tulisnya. 

Tinjauan Harian Metro di akaun Instagramnya mendapati individu ini bukanlah pengguna Instagram yang aktif memandangkan hantaran terbaru yang dimuat naiknya di platform media sosial itu pada 22 Mei lalu. 

Sebelum itu, Zulshafiqah juga tidak aktif memuat naik hantaran di 'feed' Instagram dan kali terakhir dibuatnya pada 2 Ogos 2018. 

Terdahulu, netizen menyelar tindakan akaun Instagram Noor Kartini yang memuat naik hantaran di Instagram Story dan menulis kenyataan berbaur hinaan terhadap Sultan Johor. 

Namun, Noor Kartini tampil membuat laporan polis dan menafikan dirinya memuat naik hantaran itu, sebaliknya dia mendakwa ia adalah tindakan pengurus media sosialnya.

1,000 klinik, hospital swasta jadi PPV sebelum akhir Jun ini

 Bernama

PPV swasta mampu memberi vaksin dengan sasaran kira-kira 40,000 dos sehari, tertakluk kepada bekalan vaksin.

Kerajaan meletakkan sasaran untuk menjadikan 1,000 klinik perubatan am swasta (GP) dan hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) sebelum 30 Jun ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata ini membolehkan PPV swasta itu mampu memberi vaksin dengan sasaran kira-kira 40,000 dos sehari, tertakluk kepada bekalan vaksin.

“Ini sasaran kita untuk klinik (dan hospital) swasta, tertakluk kepada bekalan vaksin. Sebelum ini klinik dan hospital swasta tidak perlu terlibat dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebab bekalan vaksin tidak banyak.

“Selepas ini, apabila bekalan vaksin sudah meningkat maka kita hendak memudah cara klinik dan hospital swasta untuk memberi vaksin melalui program kita secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPV di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) hari ini.

Khairy berkata sehingga kini 1,800 GP daripada 2,500 GP berdaftar telah menjalani latihan bersama ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) sebelum membuka PPV masing-masing.

Mengenai isu bakal jemaah haji yang telah disuntik vaksin Sinovac, beliau berkata kerajaan akan berbincang dengan kerajaan Arab Saudi bagi memberi kelonggaran kepada golongan itu.

Ini berikutan Arab Saudi ketika ini hanya meluluskan vaksin jenama Pfizer dan AstraZeneca bagi memasuki negara itu.

“… kalau untuk bakal jemaah haji yang belum divaksinasi, untuk Tabung Haji kita bagi Pfizer.

“Saya juga telah minta nasihat daripada jawatankuasa pakar kita sekiranya seseorang disuntik dengan Sinovac boleh disuntik lagi dengan Pfizer, itu pun belum terima jawapan,” katanya.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan ciri-ciri terbaharu di dalam aplikasi MySejahtera akan ditambah bagi membolehkan pengguna yang menerima salah tarikh janji temu vaksin AstraZeneca untuk membatalkan atau menukar tarikh baru.

Kontak rapat Covid-19 serumah di Kelantan perlu pakai gelang kuarantin 14 hari

Bernama

14 hari dari tarikh akhir pendedahan dengan pesakit, tanpa perlu menunggu pengambilan sampel Covid-19.

Kelantan memutuskan supaya semua kontak rapat serumah dengan kes positif Covid-19, akan dipakaikan gelang kuarantin selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan dengan pesakit, tanpa perlu menunggu pengambilan sampel Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dr Zaini Hussin berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan, semalam.

“Pemakaian gelang ini akan dilakukan segera tanpa menunggu pengambilan sampel Covid-19, selaras dengan Seksyen 15(A) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021).

“Ini bertujuan untuk menyekat segera pergerakan individu setelah mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat kes sah (positif),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ini merupakan strategi dalam melandaikan keluk pandemik Covid-19 di Kelantan, ekoran peningkatan kes yang mendadak sejak kebelakangan ini.

“Rakyat Kelantan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, dan memantau status kesihatan diri.

“Sila dapatkan rawatan segera sekiranya bergejala. Terus berada di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar,” tambahnya.

Terpengaruh berita palsu, tak semak MySejahtera antara punca tidak hadir vaksinasi

Bernama

Di Pahang, Raub merupakan daerah paling tinggi mencatatkan jumlah ketidakhadiran vaksinasi iaitu 45%.

Tidak menyemak aplikasi MySejahtera dan terpengaruh dengan berita tidak benar berkaitan vaksin dikenal pasti sebagai antara punca 10,000 penduduk Pahang tidak menghadiri janji temu suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata alasan itu diterimanya selepas beliau mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan berhubung isu ketidakhadiran di pusat pemberian vaksin (PPV) di Pahang.

Beliau berkata Raub merupakan daerah paling tinggi mencatatkan jumlah ketidakhadiran iaitu 45% diikuti Pekan (43%), Maran (40%), Bera (28%) manakala Bentong dan Jerantut masing-masing mencatatkan 22%.

“Selain tidak sedar akan lokasi, masa dan tarikh janji temu vaksin yang diberikan oleh aplikasi MySejahtera, ada juga yang memberikan alasan terlupa.

“Terdapat kalangan warga emas yang berubah fikiran selepas terpengaruh dengan berita tidak benar tentang vaksin yang disebarkan ahli keluarga atau sahabat atau yang tular di media sosial,” menurutnya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial rasmi beliau.

Wan Rosdy berharap golongan muda dapat membantu menyemak dan mengingatkan ibu bapa khususnya mereka yang telah berusia berhubung janji temu suntikan vaksin supaya tidak terlepas perkara penting itu.

Beliau juga berkata kerajaan negeri akan terus mendapatkan maklum balas daripada rakyat Pahang berhubung isu ketidakhadiran janji temu suntikan vaksin walaupun telah mendaftar untuk menerima suntikan tersebut.

“Ini kerana kita mesti berusaha sebaik mungkin untuk mencapai tahap imuniti kelompok dengan segera dan ini hanya boleh dicapai jika sebahagian besar kita telah menerima vaksin supaya dapat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19,” katanya.

1,052,145 individu lengkap dos kedua vaksin, kata menteri kesihatan

Bernama

Setakat semalam, Selangor mencatatkan pendaftaran vaksinasi tertinggi sebanyak 3,223,832.

Seramai 1,052,145 individu telah menerima dos kedua vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Menerusi catatan di Twitternya, beliau berkata seramai 1,860,864 orang telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah pemberian vaksin Covid-19 setakat semalam ialah 2,913,009 dos.

Dr Adham berkata lima negeri tertinggi yang telah melengkapkan kedua-dua dos ialah Selangor dengan 139,427 dos diikuti Sarawak (109,934); Perak (97,558); Kuala Lumpur (94,399) dan Johor (92,231).

Menurutnya, setakat semalam, 49.9% atau 12,117,091 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi sebanyak 3,223,832.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Polis Kelantan siasat wanita didakwa persenda Islam

Bernama

Wanita dipercayai pengasas produk kosmetik itu menyatakan dia tidak suka sembahyang dan semua orang tidak solat pada 2021.

Polis Kelantan menerima laporan berkaitan seorang wanita dipercayai pengasas produk kosmetik di negeri ini yang didakwa mempersenda agama Islam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Abdul Rahim Daud berkata laporan itu diterima di ibu pejabat polis daerah ini pada 10.25 pagi tadi.

“Pengadu mendakwa melihat satu rakaman video dikongsi dalam WhatsApp malam tadi, memaparkan wanita Melayu berusia lingkungan 30-an menyatakan dia tidak suka sembahyang dan semua orang tidak solat pada 2021.

“Tindakan itu boleh dianggap mempersenda dan mempermainkan agama serta boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rahim berkata semakan awal telah dilakukan terhadap video itu dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip video mengenai wanita terbabit yang mengeluarkan kenyataan bagaikan mempersenda agama Islam seperti solat dan bacaan Yasin.

Bekalan makanan negara stabil, tidak perlu panik

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menganggarkan keperluan antara 100,000 hingga 150,000 tan beras dalam tempoh dua minggu pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, yang bermula esok.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata jumlah itu termasuk sekiranya berlaku pembelian panik oleh orang ramai.

Menurutnya, bekalan beras itu dapat ditampung berdasarkan kedudukan stok beras semasa sebanyak 764,000 tan pada masa ini yang berada di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

"Bagi memastikan bekalan dan pengeluaran beras berterusan dan tidak terganggu, MAFI akan memastikan proses penanaman dan operasi kilang padi serta beras dapat beroperasi pada kadar yang dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Ini termasuklah kebenaran pengedaran input pertanian seperti baja, benih padi dan penggunaan jentuai di sepanjang tempoh berkenaan.

"Penanaman dan penuaian padi pada masa ini sedang berjalan di beberapa negeri antaranya Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, MAFI berkata, pengedaran beras di peringkat pemborong dan peruncit juga dibenarkan untuk beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan setiap pelusuk daerah dan kawasan tidak terjejas dengan bekalan makanan utama itu.

Bagi stok semasa bekalan ikan negara pula, Ronald menganggarkan keperluan 185,000 tan sebulan ketika sekatan pergerakan penuh berbanding keperluan semasa sebanyak 155,000 tan.

"Sejumlah 89 Pasar Nelayan dan 33 Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) masih beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh sekatan berkenaan.

"Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ia tertakluk kepada arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan SOP yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Ronald turut memaklumkan berdasarkan data bekalan komoditi, bekalan daging, ayam, telur dan susu turut mencukupi untuk keperluan negara.

"Untuk Jun ini, bekalan daging lembu dan kerbau dianggarkan sebanyak 22,590.58 tan, manakala bekalan daging ayam adalah sebanyak 125,067.61 tan.

"Bekalan telur ayam untuk Jun pula dianggarkan sebanyak 976,847,250 biji dan bekalan susu segar sebanyak 4,147,608.10 liter," katanya.

Tambahnya, bagi menjamin akses orang ramai terhadap keperluan bekalan makanan, MAFI turut membuka 43 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara.

"Ia terdiri daripada 24 Pasar Tani Kekal, tiga MyFarm Outlet, 14 Pusat Operasi FAMA dan dua Agrobazaar berbanding 63 lokasi yang dibuka ketika PKP 1.0 yang lalu.

"Pengurangan ini disebabkan pelaksanaan SOP yang diperketatkan oleh MKN bagi menangani penularan gelombang ketiga COVID-19 yang kian meningkat," katanya.

Berikutan itu, Ronald berkata, bagi melancarkan semua aktiviti, pemain industri dan usahawan yang terbabit dalam rangkaian dan rantaian sektor berkaitan dinasihatkan untuk berhubung dengan Jabatan atau agensi bawah MAFI bagi mendapatkan surat pengesahan.

Ronald menegaskan MAFI akan terus komited untuk membantu pemain industri dan juga golongan petani, penternak dan nelayan dalam memastikan sektor pertanian dan industri makanan tidak akan terjejas berikutan penutupan sektor ekonomi dan sosial.

"Saya juga menyeru semua pengusaha agromakanan termasuk petani, penternak dan nelayan sentiasa patuh kepada SOP ditetapkan oleh MKN dan menjaga kesihatan diri sepanjang masa.

"Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat pembelian panik dan 'stock-piling' bahan makanan secara berlebihan yang boleh mengakibatkan keadaan di mana terdapat ketidaksamarataan dari segi akses bekalan makanan kepada orang ramai.

"MAFI juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta kementerian yang lain dalam memastikan bekalan makanan negara terus berada dalam tahap yang stabil, mencukupi dan terkawal sepanjang masa," katanya.

Diserang bekas suami dipercayai akibat cemburu

Siti Rohana Idris

KOTA BHARU: Cemburu dipercayai menjadi punca seorang wanita diserang bekas suami dengan melepaskan satu das tembakan ke arah kereta yang dipandu mangsa, malam tadi.

Tindakan itu dilakukan pada jam 7.30 malam apabila mangsa yang berusia sekitar 30-an sedang memandu kereta Kia Rio bersama tiga anaknya yang berusia tiga hingga 13 tahun di Kampung Tapang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris, berkata dalam perjalanan pulang ke rumah, wanita itu menyedari keretanya diekori kenderaan bekas suaminya.

Beliau berkata, tidak lama kemudian, mangsa terdengar seakan bunyi tembakan yang menyebabkan cermin bahagian kanan belakang kenderaannya pecah namun tidak nampak sebarang senjata yang digunakan.

"Bagaimanapun wanita itu dan tiga anaknya tidak cedera.

"Siasatan pihak polis dan Unit Forensik mengesahkan terdapat satu kesan berlubang dan retak pada cermin kereta mangsa.

"Kami tidak boleh membuat pengesahan kesan itu daripada senjata api atau apa-apa senjata kerana orang ramai sekitar tempat kejadian tidak mendengar bunyi tembakan namun siasatan lanjut akan dibuat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Susulan itu, katanya, seorang lelaki dipercayai bekas suami mangsa ditahan di rumahnya di Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) kira-kira jam 7 pagi tadi.

Wan Khairuddin berkata, perintah reman akan dimohon terhadap suspek berusia 30-an itu bagi menjalankan siasatan lanjut.

"Kita percaya kejadian bermotifkan cemburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan cubaan bunuh," katanya.

Polis siasat 'IG story' hina Sultan Johor

Oleh Nor Azizah Mokhtar

KUALA LUMPUR: Polis hari ini memulakan siasatan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor melalui laman Instagram (IG) milik ibu kepada usahawan dan selebriti popular, Neelofa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata pihaknya menerima satu laporan berkaitan perkara itu, kira-kira jam 5.44 petang tadi oleh pemilik akaun Instagram berkenaan, Datin Noor Kartini Noor Mohamed.

"Laporan dibuat berhubung paparan di Instagram peribadi milik wanita berusia 54 tahun itu yang memaparkan gambar laporan berita disiarkan TV3 bertajuk Sultan Johor Cadang Sekatan Penuh Bersasar.

"Siasatan awal mendapati hantaran dibuat seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang mengaku tersilap menggunakan akaun Instagram milik pengadu dengan membuat hantaran melalui medium 'IG Story'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Katanya, orang ramai dinasihat supaya tidak sewenang-wenangnya mengongsikan sebarang maklumat atau berita di media sosial hingga menjejaskan reputasi dan hak asasi mana-mana orang.

BH sebelum ini melaporkan ibu Neelofa itu membuat satu laporan polis, selain mendakwa dia kesal dengan perkara yang berlaku dan akan memastikan ia tidak berulang.

Noor Kartini berkata, perkara itu berlaku atas kecuaian seorang kakitangannya yang mempunyai akses membuka laman Instagram miliknya.

"Dia yang juga pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd secara tidak sengaja memuat naik dalam IG Story tanpa sedar menggunakan akaun saya, @noorkartini.

"Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail berhubung perkara ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya.

Terdahulu, tular tangkap layar IG Story Noor Kartini dalam laman sosial yang kebanyakannya kesal dengan perkataan kasar digunakan.

Bagaimanapun, hantaran dalam IG Story itu dipadam selepas beberapa minit dimuat naik, petang tadi.

‘Lockdown’ tepati prinsip Maqasid Syariah – PUM

HARAKAH DAILY

KOTA BHARU: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menganggap tindakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi merupakan satu langkah bijak yang tidak dapat dielakkan dalam situasi pendemik sekarang.

Yang di-Pertua, PUM Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, kerajaan perlu memastikan tahap kesihatan rakyat mesti diutamakan.

Advertisement

Ini juga katanya bertepatan dengan prinsip Maqasid Syariah dari aspek Hifz al-Nafs iaitu menjaga jiwa manusia.

“Kita tahu bahawa Covid-19 adalah satu ancaman yang boleh membawa maut sekiranya tidak dikawal atau disekat,” katanya pada satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi berikutan pelaksanaan total lockdown mulai 1 Jun hingga 14 Jun ini dengan mengambil kira penularan wabak Covid semakin serius.

Syeikh Abdul Halim berkata, keputusan itu akan memberi kesan kepada rakyat terutama mereka yang bekerja sendiri atau bekerja dengan pihak swasta secara bergaji hari.

“Kami yakin bahawa pihak kerajaan mempunyai pelan bagi membantu mereka yang terkesan tersebut,” ujarnya.

Malah kata beliau agensi-agensi kerajaan dan agama mengumumkan pakej bantuan kepada mereka yang layak termasuk MAIWP yang begitu prihatin dengan memberi peruntukan RM38 juta bagi membantu penduduk yang memerlukan di Wilayah Persekutuan.

Beliau juga berkata, PUM menyelar tindakan segelintir rakyat yang menggunakan media sosial untuk mengutuk pemimpin negara, termasuk terbaru mengeluarkan kata-kata tidak sopan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Oleh itu PUM berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan tesebut bagi memberi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mempersendakan Yang di-Pertuan Agong.

“Selain itu tindakan tegas juga perlu diambil kepada mana-mana individu yang mempermainkan atau mempersendakan setiap keputusan yang diambil pemimpin negara dalam menangani Covid-19,” katanya

Dalam pada itu, PUM turut meminta rakyat memberi perhatian serius terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang giat dijalankan sekarang.

Sewajarnya kata beliau setiap individu mengambil peluang untuk mendaftarkan diri dengan program tersebut demi kemaslahatan semua pihak.

“PUM juga mencadangkan agar kerajaan memastikan sistem imunisasi dapat diselaraskan dalam aplikasi yang biasa digunakan iaitu MySejahtera.

“Ini penting agar rakyat tidak keliru dalam pendaftaran untuk mendapatkan vaksin Covid-19 serta mampu dilaksanakan sebaik mungkin.

“PUM juga ingin mencadangkan agar golongan agamawan, imam dan pentadbir masjid diberikan peluang awal mendapatkan vaksin kerana mereka juga boleh membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat,” ujarnya. HARAKAHDAILY

Polis Kelantan terima laporan wanita persenda Islam

HARAKAH DAILY

KOTA BHARU: Polis Kelantan menerima laporan berkaitan seorang wanita dipercayai pengasas produk kosmetik di negeri ini yang didakwa mempersenda agama Islam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Abdul Rahim Daud berkata laporan itu diterima di ibu pejabat polis daerah ini pada 10.25 pagi tadi.

“Pengadu mendakwa melihat satu rakaman video dikongsi dalam WhatsApp malam tadi, memaparkan wanita Melayu berusia lingkungan 30-an menyatakan dia tidak suka sembahyang dan semua orang tidak solat pada 2021.

“Tindakan itu boleh dianggap mempersenda dan mempermainkan agama serta boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rahim berkata semakan awal telah dilakukan terhadap video itu dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip video mengenai wanita terbabit yang mengeluarkan kenyataan bagaikan mempersenda agama Islam seperti solat dan bacaan Yasin. – BERNAMA

Kes ingkar pakai pelitup muka masih tinggi

Oleh AMREE AHMAD

ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam naik lagi dengan 749 individu ditahan berbanding 617 individu yang diberkas kelmarin.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut seramai 729 individu dikompaun, 18 direman dan dua dijamin hasil pemantauan 69,542 pemeriksaan anggota Task Force Operasi Pematuhan.

“Kesalahan tertinggi kali ini masih lagi sebab tidak memakai pelitup muka iaitu 180 kes diikuti gagal menjaga jarak fizikal dengan 138 kes, disusuli tidak merekod butiran diri di premis (120), membawa penumpang secara berlebihan dalam kenderaan (55) dan lain-lain (122).

“Sebanyak 158 buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegas Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini.

Menyentuh isu kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, seramai 786 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemua dikuarantin dengan sejumlah 8,323 individu masih lagi menjalani proses itu termasuk 2,236 individu dibawa ke hospital, manakala 203,567 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah. – UTUSAN ONLINE

Wakil rakyat dibenar rentas negeri

Oleh AMREE AHMAD
 
Wakil rakyat dibenar rentas negeri untuk aktiviti menyantuni rakyat -GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA: Semua wakil rakyat dibenarkan menjalankan kegiatan bersama penduduk sepanjang tempoh  pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula Selasa ini yang menyamai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lalu.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri boleh ‘turun padang’ bagi menyantuni rakyat.

“Ini seperti menyampaikan bakul makanan asalkan patuh prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini. .

Antara sektor tidak dibenarkan dibuka ialah pasar tani, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu selain kedai gunting rambut, perabot, bunga, barang kemas, buku dan peralatan tulis.

Menurut senarai larangan yang diterbitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, operasi kafe siber dan pusat siber selain aktiviti fotografi dan perjudian berlesen juga tidak dibolehkan.

Ia meliputi premis agensi nombor ramalan, lumba kuda dan kasino. Turut dilarang dibuka ialah operasi spa, refleksologi, pusat urut, salun kecantikan, penjagaan tubuh, rias kuku dan badan.

Sekatan penuh pada kali ini juga menyaksikan pusat cuci kenderaan, aksesori kenderaan, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, alat permainan dan peralatan sukan ditutup.

Begitu juga hobi memancing ikan kecuali sara hidup diri, persembahan filem di pawagam termasuk pandu masuk, persembahan di lounge hotel dan hiburan jalanan turut dilarang.

Bagi sukan dan riadah, MKN melarang semua aktiviti termasuk program latihan berpusat, fasiliti dan premis, penganjuran pertandingan atau perlawanan tempatan dan antarabangsa.

Industri kreatif juga dilarang meliputi secara langsung atau rakaman termasuk penggambaran filem, drama, iklan, promosi, komedi, animasi kecuali bual bicara dan strim live individu.

Turut digantung ialah aktiviti pelancongan yang juga meliputi zoo, taman alam, ekstrem, premis seni, budaya, warisan, muzium, perpustakaan, galeri, taman tema dan karaoke.

Acara sosial seperti kenduri, pernikahan, pertunangan, perkahwinan, kelahiran, resepsi, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, reunion dan retreat serta majlis keramaian lazim – UTUSAN ONLINE

Video Dr. Nur maut adalah palsu

Oleh MASZUREEN HADZMAN

PETALING JAYA: Hantaran Facebook yang mendakwa seorang rakyat Malaysia dikenali Dr. Nur yang ditahan rejim Zionis minggu lalu telah disahkan maut adalah tidak benar.

Hantaran berkenaan turut memuat naik video berdurasi 1 minit 10 saat mengenai Dr. Nur walhal individu yang dilaporkan itu merupakan Nurul Nadia Azhar yang bertugas sebagai tatarias di sebuah stesen penyiaran.

Difahamkan, Nurul Nadia disahkan meninggal dunia pada Jumaat lalu kerana jangkitan paru-paru.

Hasil tinjauan Utusan Malaysia terhadap pemilik laman sosial yang menularkan video berkenaan telah memohom maaf atas kesilapan membuat hantaran berkenaan.

“Saya admin meminta maaf pasal post Nurul Nadia itu, kerana tidak melihat kesahihannya terlebih dahulu.

“Pada keluarga Nurul dan yang terlibat saya memohon maaf atas kesilapan saya lakukan sebentar tadi. Berkaitan hantaran itu saya telah padamkan. Admin info Runner Malaya,” katanya dalam Facebook di sini hari ini. UTUSAN

Tuan rumah majlis kenduri nikah dikompaun

Oleh NUR ANATI JUHARI

PADANG TERAP:  Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an dikompaun RM4,000 kerana mengadakan kenduri selepas majlis akad nikah di sebuah rumah di Felda Lubuk Merbau di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, pemeriksaan ke atas rumah keluarga pengantin perempuan tersebut dilakukan pasukan pemantau Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap kira-kira pukul 2 petang ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati tuan rumah berkenaan mengadakan kenduri selepas majlis akad nikah yang dihadiri 15 tetamu.

“Tindakan lelaki terbabit mengadakan kenduri melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya di sini, hari ini.

Katanya, kompaun sebanyak RM4,000 dikenakan kepada tuan rumah mengikut Seksyen 22(b) Akta Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Perkara 15 Peraturan Pencegahan Dan Penyakit Berjangkit 2021.

“Lelaki itu perlu menjelaskan kompaun yang dikenakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pejabat Kesihatan Daerah,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Cahaya hijau dilihat dekat Gunung Merapi

 Oleh KOSMO!

Warna hijau pada hujan meteor ini adalah kerana elemen magnesium. -Instagram

JAKARTA – Cahaya hijau yang dirakam berdekatan Gunung Merapi, Jogjakarta, Indonesia baru-baru ini dipercayai mempunyai kaitan dengan fenomena hujan meteor, lapor laman berita Liputan 6. 

Hal itu dimaklumkan oleh Lembaga Penerbangan dan Antariksa Nasional (LAPAN) menerusi kenyataan salah seorang penyelidiknya, Andi Pangerang.

“Kami berpendapat kilatan cahaya kehijauan yang muncul dekat Gunung Merapi mungkin boleh dikaitkan dengan kejadian hujan meteor,” jelas Andi.

Foto tentang penampakan cahaya hijau dekat Gunung Merapi itu sebelum ini dimuat naik menerusi akaun instagram @Gunarto_Song.

Fenomena itu turut disahkan menerusi rakaman kamera televisyen tertutup (CCTV) dari Merapi dan Pos Kalitengah Kidul.

Jelas Andi, berdasarkan data dari Organisasi Meteor Antarabangsa (IMO) bagi Mei 2021, terdapat sekurang-kurangnya dua hujan meteor aktif ketika apabila cahaya itu dirakam oleh kamera pada Khamis lalu. 

Hujan meteor Eta Aquarid itu aktif antara 19 April hingga 28 Mei lalu manakala hujan meteor Arietid aktif pada 14 Mei hingga 24 Jun depan.

Hujan meteor merupakan gugusan meteor yang jatuh dan melalui permukaan Bumi yang luas.

Ia akan kelihatan sama seperti titisan air hujan yang turun dari awan.

“Hujan meteor merupakan peristiwa astronomi yang biasa dan tiada kaitan dengan gerhana bulan penuh yang berlaku pada Rabu lepas,” kata Andi.

Tambahnya lagi, warna hujan meteor itu bergantung kepada elemen yang mendominasinya.

“Warna hijau kebiru-biruan datang dari magnesium. Jika kalsium pula, warnanya adalah ungu manakala nikel pula memiliki warna hijau yang bersinar,” katanya. -Agensi

Senarai aktiviti ekonomi dibuka ketika ‘total lockdown’

 Oleh KOSMO!

Hanya sebanyak 17 perkhidmatan yang dibenarkan untuk meneruskan operasi dengan mematuhi SOP ditetapkan sepanjang penguatkuasaan tempoh lockdown bermula Selasa ini. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan hari ini, semua aktiviti ekonomi dan sosial adalah tidak dibenarkan kecuali bagi 17 senarai perkhidmatan perlu seperti berikut:

  • Makanan dan minuman termasuk untuk haiwan
  • Penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet, penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar
  • Air
  • Tenaga
  • Keselamatan (security and safety), pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan
  • Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan pembetungan
  • Pengangkutan melalui darat, air atau udara
  • Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang, termasuk pemunggahan, pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan pemaliman, dan penyimpanan atau pemukalan komoditi
  • Komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan internet, pos dan kurier serta penyiaran (bagi tujuan penyampaian maklumat, berita dan seumpamanya sahaja)
  • Perbankan, insuran, takaful dan pasaran modal
  • Kredit komuniti (pajak gadai dan Ar-rahnu)
  • E-dagang dan teknologi maklumat
  • Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir
  • Hotel dan penginapan (hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan tujuan pelancongan)
  • Pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal
  • Perkhidmatan perhutanan (terhad kepada penguatkuasaan) dan hidupan liar
  • Logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu.

Dengan pelaksanaan PKP ini juga, semua sektor perkilangan juga tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan mengikut sektor seperti berikut:

Pembuatan

  • Aeroangkasa (komponen dan selenggara, baiki and overhaul – MRO)
  • Makanan dan minuman
  • Bahan pembungkusan dan percetakan hanya berkaitan bahan makanan dan kesihatan
  • Barang-barang dan penjagaan diri, dan bahan pencuci
  • Keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet
  • Barang penjagaan diri, peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan keselamatan kebakaran
  • Komponen bagi peranti perubatan
  • Elektrikal dan Elektronik (kepentingan rantaian ekonomi global)
  • Minyak dan gas (Oil and Gas) termasuk petrokimia dan produk petrokimia
  • Mesin dan peralatan hanya berkaitan kesihatan dan makanan sahaja
  • Tekstil untuk pengeluaran PPE sahaja
  • Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir

Pertanian, Perikanan, Penternakan, Perladangan dan Komoditi

  • Pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya (contohnya kedai yang menjual baja dan racun serta kilang memproses buah sawit adalah dibenarkan untuk beroperasi)
  • Perladangan dan komoditi serta rantaiannya (kelapa sawit, getah, lada dan koko)

Pembinaan

  • Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal
  • Kerja-kerja pembinaan infrastruktur awam yang utama
  • Kerja kerja pembinaan bangunan yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap ditapak bina atau pekerja yang ditempatkan di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).

Kanak-kanak disyor tidak dibawa ke lokasi sesak

 Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan supaya golongan kanak-kanak tidak dibawa ke tempat awam terutamanya lokasi sesak seperti pusat beli-belah dan sebagainya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mendapati kes jangkitan yang melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja semakin meningkat.

“Ada kemungkinan ketika kerajaan buka sektor pendidikan, jangkitan bertambah melibatkan remaja dan kanak-kanak namun sekarang sektor ini sudah ditutup.

“Justeru apa yang penting kita syorkan kanak-kanak tidak dibawa ke tempat awam, pusat beli-belah dan sebagainya. Melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang ketat, kita boleh pastikan kanak-kanak duduk di rumah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, ujian saringan Covid-19 bagi pergerakan sektor ekonomi hanya akan dijalankan sekiranya penilaian risiko menunjukkan individu yang merentas negeri itu adalah pembawa atau terdedah kes positif.

“Setakat ini kita mungkin tidak dapat melaksanakan sepenuhnya. Bagaimanapun, tiada pergerakan rentas negeri dan daerah jadi, sekurang-kurangnya kita boleh mengurangkan (pergerakan).

“Hanya sektor perlu sahaja dibenarkan dan jika mereka yang merentas negeri itu berisiko tinggi, kita pasti akan menjalankan ujian saringan terhadapnya,” ujarnya. – K! ONLINE

BDR sepenuhnya bagi penjawat awam kecuali barisan hadapan

 Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

Mohd. Zuki.

PUTRAJAYA – Petugas di sektor perkhidmatan awam akan bekerja dari rumah (BDR) sepenuhnya sepanjang penutupan sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ kecuali barisan hadapan termasuk bahagian keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, perintah itu bertujuan untuk mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, semua ketua jabatan harus memastikan bahawa semua mesyuarat dan perbincangan dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan.

“Selain itu, tiada perjumpaan atau aktivitl fizikal dibenarkan dan perkhidmatan kaunter ditutup dan segala urusan adalah melalui perkhidmatan dalam talian kecuali kaunter perkhidmatan kesihatan, balai polis dan di pintu-pintu masuk antarabangsa yang melibatkan perkastaman, imigresen serta kuarantin,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini. – K! ONLINE

Ujian mudah ibu jari kesan risiko masalah jantung

 Oleh KOSMO!

Individu boleh melakukan tiga langkah mudah untuk menjalankan ujian ibu jari bagi mengetahui risiko masalah jantung yang berbahaya. – The Sun

HARTFORD, CONNECTICUT – Sekumpulan doktor Fakulti Perubatan Universiti Yale mendedahkan individu boleh membuat pemeriksaan sendiri bagi mengetahui risiko masalah jantung dengan menggunakan ujian ibu jari, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Bagi menjalankan ujian mudah tersebut, individu hanya perlu menggunakan sebelah tangan dan membuka tapak tangan dalam keadaan rata.

Seterusnya, letakkan ibu jari di sepanjang tapak tangan sejauh yang mungkin.

Jika ibu jari mereka boleh melepasi hingga ke luar kawasan tapak tangan, ini bermaksud individu tersebut berisiko menghidap aneurisme (arteri tersumbat) tersembunyi.

Hal ini kerana kemampuan seseorang untuk menggerakkan ibu jarinya melepasi kawasan tapak tangan adalah petunjuk terdapat masalah pada sambungan sendi tubuhnya.

Individu yang positif dalam ujian tersebut berupaya menggerakkan ibu jari mereka melepasi kawasan tapak tangan. – Fakulti Perubatan Universiti Yale/The Sun

Keadaan itu merupakan antara tanda penyakit tisu yang menghubungkan sendi di seluruh badan termasuk aorta, iaitu arteri terbesar dalam badan yang mengalir dari jantung ke perut.

Penyelidik telah menjalankan ujian tersebut ke atas 305 individu dan menerbitkan hasil kajian mereka dalam Jurnal Kardiologi Amerika Syarikat.

“Kajian ini menunjukkan bahawa majoriti pesakit aneurisme tidak memberikan keputusan positif dalam ujian ibu jari-tapak tangan.

“Namun, pesakit yang positif ujian tersebut berkemungkinan tinggi mengalami aneurisme,” ujar penulis kanan jurnal tersebut, Dr. John A. Elefteriades. – AGENSI

Lelaki Myanmar maut disambar petir

 Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warganegara Myanmar maut disambar petir dalam satu kejadian di Flat Akasia, Taman Desa Cemerlang di sini, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Penguasa Bomba Kanan II Shafie Mohd. Don berkata, mangsa berusia 39 tahun itu ditemukan terbaring di tepi jalan oleh orang awam yang kemudiannya menghubungi bomba pada pukul 5.05 petang.

“Sehubungan itu, lapan anggota, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Bomba bertindak membuat pemeriksaan terhadap mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – K! ONLINE

Polis siasat hantaran Instagram Noor Kartini

 Oleh NOR AZIHAN BINTI MD. GHAZALI

Noor Kartini.

PETALING JAYA – Polis mengesahkan akan membuat siasatan berkenaan hantaran InstaStory di laman Instagram milik Noor Kartini Noor Mohammed, ibu kepada usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa, yang didakwa memuat naik komen berbaur sensitif terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, siasatan dilakukan susulan laporan polis yang dibuat Noor Kartini sekitar pukul 5.44 petang tadi.

“Siasatan awal mendapati hantaran tersebut telah dimuat naik oleh seorang wanita berusia 32 tahun.

“Wanita berkenaan mengaku telah tersilap menggunakan Instagram milik Noor Kartini dengan membuat hantaran tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kes tersebut dalam siasatan pihak polis kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi sebarang maklumat atau berita di media sosial hingga menjejaskan reputasi dan hak asasi mana-mana orang.

Terdahulu, menerusi hantaran Instastory di laman Instagram Noor Kartini didakwa mempertikaikan sistem Raja Berpelembagaan di negara ini.

Tulisan itu meminta Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 12 Januari lalu berkuat kuasa sehingga 1 Ogos depan. – K! ONLINE

Lelaki gelang merah jambu kena kompaun

Oleh NOR AINNA HAMZAH

Lelaki yang memakai gelang merah jambu itu ditahan hasil maklumat orang awam.

JEMPOL – Seorang lelaki yang masih memakai gelang merah jambu namun tidak mematuhi perintah kuarantin dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 selepas dikesan mahu membeli barangan runcit di kedai berdekatan kediamannya di Taman ACBE Bahau, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kira-kira pukul 5 petang, pasukan petugas pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 telah menahan lelaki berkenaan di tepi jalan di Lorong 11 taman berkenaan setelah mendapat maklumat dari orang awam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 53 tahun itu dalam perjalanan menaiki kenderaan dari rumahnya ke kedai runcit namun tidak jadi masuk ke dalam kedai berkenaan selepas menyedari kehadiran pasukan polis.

“Lelaki tersebut diarahkan menjalani tempoh kuarantin sejak 28 Mei lalu dan dijangka berlanjutan sehingga 6 Jun ini. Bagaimanapun tindakan lelaki ini mahu pergi ke kedai menyalahi undang-undang serta tidak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Lelaki berkenaan telah dikompaun di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi. – K! ONLINE

Ahad, 30 Mei 2021

Ibu Neelofa mohon maaf pada Istana Johor, Tunku Idris ingatkan adab tidak boleh dijual beli

Astro Awani

Ibu Neelofa mohon maaf pada Istana Johor, Tunku Idris ingatkan adab tidak boleh dijual beli
Noor Kartini telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail berhubung perkara ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya.
 
KUALA LUMPUR : "Sesungguhnya adab itu tidak akan boleh didapati dengan jual beli, akan tetapi ia adalah suatu yang terbit di dalam hati setiap insan yang dididik dengan baik..."
 
Itu adalah antara rantaian kata yang dimuat naik Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim di akaun Instagram beliau pada Ahad.
 
Hantaran itu dipercayai ada kaitan dengan sebuah tangkap layar (screenshot) dari akaun Instagram @noorkartini iaitu milik Datin Noor Kartini Noor Mohamed yang juga ibu kepada selebriti Noor Neelofa Mohd Noor.
 
Dalam tangkap layar tersebut, menunjukkan imej dan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkaitan isu cadangan sekatan penuh bersasar bagi menangani kebimbangan lonjakan penularan COVID-19.
 
Bagaimanapun, disertakan sekali dalam imej itu, kata-kata yang dipercayai mempertikai niat dan saranan Sultan Johor tersebut. 
 
Warga maya yang tidak berpuas hati dengan gaya bahasa yang digunakan itu, telah menularkan tangkapan skrin itu hingga mendapat perhatian Tunku Idris.
 
Sehingga petang Ahad, perkara itu masih menjadi bualan pengikut Tunku Idris berdasarkan hantaran baharu di Instagram Story Tunku Temenggong itu.
 
Pada masa yang sama, hantaran berkenaan di Instagram Story Noor Kartini itu dipercayai sudah dipadamkan.
 
Pada petang Ahad, Astro AWANI telah menerima mesej di aplikasi WhatsApp berhubung isu berkenaan daripada pihak pengurusan Neelofa, bagi pihak Noor Kartini, yang cuba menjelaskan perkara tersebut.
 
"Berhubung tangkap layar daripada media sosial (Instagram story) saya yang tersebar berkenaan sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia, saya ingin jelaskan, perkara tersebut berlaku atas kecuaian salah seorang pekerja saya yang mempunyai akses kepada media sosial (Instagram) saya," kata kenyataan itu.
 
Menurutnya, individu yang dimaksudkan itu merupakan pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd yang secara tidak sengaja telah memuat naik Instagram Story tanpa menyedari menggunakan akaun @noorkartini.
 
"Saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail berhubung perkara ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya.
 
"Kepada Istana Negeri Johor terutamanya DYMM Tuanku Sultan Johor dan seluruh ahli keluarga Diraja, patik merafak sembah memohon maaf di atas kecuaian yang terjadi," kata kenyataan tersebut.
 
Akaun milik Noor Kartini juga telah memuat naik keyataan maaf berkenaan.

'Lockdown': Rentas negeri, daerah pasangan jarak jauh tak dibenar

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Rentas negeri, daerah bagi pasangan jarak jauh tidak dibenarkan dalam tempoh ‘lockdown’ fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, maklum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Mulai 1 Jun surat kebenaran bekerja, merentas daerah hanya dikeluarkan oleh kementerian yang berkaitan, katanya pada sidang akhbar bersama Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang disiarkan di televisyen hari ini.

Menurut Ismail, pihak polis masih boleh keluarkan surat kebenaran rentas negeri, daerah bagi tujuan kecemasan seperti kematian dan keluarga nazak. 

Aktiviti riadah secara bersendirian pula dibenarkan hanya untuk jogging dan senaman tanpa sentuhan dengan had masa hingga 8 malam, jelasnya.

Kompleks beli-belah ditutup kecuali premis pasar raya, pasar raya besar dan bahagian seksyen makanan dan minuman, serta keperluan asas, katanya lagi.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 28 Mei lalu mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ akan dilaksanakan di seluruh negara selama dua minggu bermula 1 Jun ini.

PKP penuh ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan fasa pertama bermula 1 hingga 14 Jun.

Menurut Muhyiddin, sekiranya 'lockdown' fasa pertama berjaya mengurangkan kes-kes harian Covid-19, kerajaan akan melaksanakan 'lockdown' fasa kedua yang membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

'Lockdown' fasa kedua itu dijangka akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir.

Hanya setelah fasa kedua selama empat minggu itu berakhir, kerajaan akan kembali menguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti yang dilaksanakan ketika ini

Hanya dua orang dari isi rumah dibenar keluar bermula 1 Jun

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Hanya dua orang sahaja wakil isi rumah dibenarkan keluar di bawah prosedur operasi standard (SOP) sepanjang perintah sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang bermula 1 Jun ini.

Menteri Pertahanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.

Selain itu, maksimum tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, keselamatan atau kecemasan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman atau ke tempat paling hampir dengan kediaman.

Ismail berkata bilangan penumpang dalam teksi dan e-hailing pula dihadkan kepada dua orang sahaja termasuk pemandu dan penumpang yang disyaratkan untuk duduk di kerusi penumpang bahagian belakang.

"Perkhidmatan pengangkutan awam laut dan darat seperti pengangkutan pekerja, bas henti-henti, bas ekspres, LRT, MRT, ERL, Monorel, feri dan lain-lain pengangkutan awam dibenarkan beroperasi berdasarkan 50 peratus kapasiti kenderaan," katanya dalam sidang media hari ini.

Bagaimanapun kata Ismail, waktu operasi dan frekuensi pengangkutan awam berkenaan tertakluk kepada Kementerian Pengangkutan kecuali pesawat.

Sementara itu, kapasiti kehadiran bagi anggota Perkhidmatan Awam terhad kepada 20 peratus bagi tugasan perlu (tidak termasuk barisan hadapan, anggota keselamatan dan pertahanan) dan 100 peratus secara bekerja dari rumah (BDR) bagi bukan perkhidmatan perlu.

Manakala kapasiti kehadiran pekerja bagi sektor swasta dalam perkhidmatan perlu termasuk operasi dan pengurusan terhad kepada 60 peratus, katanya.

17 perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi mulai 1 Jun

SEBANYAK 17 jenis perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi mulai 1 Jun ini sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh dikuatkuasakan sehingga 14 Jun depan.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi termasuk makanan dan minuman termasuk untuk haiwan; penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk veterinar; air dan tenaga.

Selain itu, kata Ismail Sabri, sektor perkhidmatan yang dibenarkan merangkumi keselamatan, pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan.

Pada masa sama, kata beliau, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal; pengangkutan; perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan; komunikasi serta perbankan, insuran, takaful dan pasaran modal turut dibenarkan beroperasi.

“Perkhidmatan lain yang dibenarkan adalah kredit komuniti; e-dagang dan teknologi maklumat; pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir.

“Hotel dan penginapan juga dibenarkan tetapi hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan bagi tujuan pelancongan.

Baca artikel berkaitan: Total lockdown selama 14 harı mulai 1 Jun, pakej bantuan menyusul

“Perkhidmatan seterusnya termasuk pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal; perkhidmatan perhutanan yang terhad kepada penguatkuasaan dan logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, secara umumnya kebanyakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pada PKP 3.0 kali ini sama sewaktu PKP 1.0 tahun lalu.

Katanya, ia termasuk penutupan kompleks membeli-belah kecuali hanya premis, pasar raya, pasar raya besar yang mempunyai seksyen makanan dan minuman serta keperluan asas yang dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.

Beliau berkata, dua orang sahaja wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.

“Maksimum tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, keselamatan atau kecemasan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman atau ke tempat paling hampir dengan kediaman sekiranya perkhidmatan kesihatan atau perubatan tersebut tiada dalam radius 10 kilometer dari kediaman,” jelas beliau.

Berikut merupakan senarai perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi:

  1. Makanan dan minuman termasuk untuk haiwan
  2. Penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok
    diet, penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan
    veterinar
  3. Air
  4. Tenaga
  5. Keselamatan (security and safety), pertahanan,
    kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan
  6. Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan
    pembetungan
  7. Pengangkutan melalui darat, air atau udara
  8. Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan
    dan lapangan terbang, termasuk pemunggahan,
    pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan
    pemaliman, dan penyimpanan atau pemukalan komoditi
  9. Komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan
    internet, pos dan kurier serta penyiaran (bagi tujuan
    penyampaian maklumat, berita dan seumpamanya
    sahaja)
  10. Perbankan, insuran, takaful dan pasaran modal
  11. Kredit komuniti (pajak gadai dan Ar-rahnu)
  12. E-dagang dan teknologi maklumat
  13. Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan
    serta pengagihan bahan api dan pelincir
  14. Hotel dan penginapan (hanya bagi tujuan kuarantin,
    pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan
    bukan tujuan pelancongan)
  15. Pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal
  16. Perkhidmatan perhutanan (terhad kepada
    penguatkuasaan) dan hidupan liar
  17. Logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu

Hanya 12 sektor perkilangan boleh beroperasi – Ismail Sabri

Ismail Sabri dan Dr. Noor Hisham dalam sidang akhbar hari ini.

SEMUA sektor perkilangan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh atau total lockdown mulai 1 hingga 14 Jun ini.

Walau bagaimanapun, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran diberikan kepada 12 sektor terpilih sahaja untuk terus beroperasi sewaktu tempoh berkenaan.

Menurut Ismail Sabri, sektor terlibat adalah aeroangkasa melibatkan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO); makanan dan minuman; bahan pembungkusan dan percetakan hanya berkaitan bahan makanan serta kesihatan di samping barang-barang penjagaan diri dan bahan pencuci.

Selain itu, kata beliau, jenis perkilangan lain yang dibenarkan merangkumi keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan; barang penjagaan diri, peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan keselamatan kebakaran.

Beliau berkata, sektor-sektor lain adalah komponen bagi peranti perubatan; elektrikal dan elektronik; minyak dan gas; mesin dan peralatan hanya berkaitan kesihatan dan makanan; tekstil untuk pengeluaran PPE serta pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir.

“Sektor perkilangan yang dibuka pun hanya dengan kapasiti bekerja setakat 60 peratus sahaja. Kita berharap semua akur dengan arahan diberikan kerajaan.

“Ini kerana saya baca dalam media sosial, walaupun kita dah tetapkan syarat 60 peratus pekerja tetapi ada aduan terdapat majikan yang memaksa bekerja melebihi jumlah tersebut.

“Saya harap perkara seperti ini tidak berlaku kepada sektor yang dibenarkan. Jika berlaku, kita harap pekerja tersebut membuat aduan. Saya minta pihak berkuasa ambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan, sektor pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi turut dibenarkan beroperasi.

Kata beliau, ia termasuk rantaian bagi sektor tersebut seperti kedai menjual baja dan racun atau kilang memproses buah sawit.

Pada masa sama, beliau memberitahu, sektor pembinaan pula melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal.

“Selain itu, kita juga benarkan kerja-kerja pembinaan infrastruktur awam yang utama.

“Kerja-kerja pembinaan bangunan yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina atua pekerja yang ditempatkan di kuarters pekerja berpusat juga dibenarkan,” jelas beliau.

Seronok sangat ke sebar fitnah? – Mawar

Pix-KhairuddinMawar
Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali difitnah ada hubungan dengan Mawar Karim.

KUALA LUMPUR – Usahawan selebriti, Mawar Karim menempelak pihak yang menyebarkan fitnah kononnya dia ada hubungan istimewanya dengan pemimpin Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Mawar mendakwa fitnah itu disebarkan semata-mata demi kepentingan politik.

Mawar atau nama sebenarnya Mawar Abdul Karim turut berkongsi satu tangkap layar perbualan WhatsApp yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya yang memberi gambaran seolah-olah isu tersebut sengaja dilakukan pihak tertentu.

Jelas ibu tunggal anak seorang itu, apa yang berlaku itu bagi menjatuhkan reputasi seseorang atau menutup pekung isu-isu negara yang lebih penting sambil mendakwa wujudnya ‘tangan-tangan kotor’ dalam isu itu.

Mawar juga mendakwa ia melibatkan individu bergelar Datuk.

Mawar yang juga merupakan bekas isteri kepada pelakon Fizo Omar itu mempersoalkan taktik busuk individu terbabit.

“Saya ada beberapa perbualan ‘Datuk’ ini yang motif sebenarnya? Hmm.

“Seronok sangat ke dapat sebar berita fitnah ya? Apa maksud ‘masa dah suntuk?’ Apa motif dan apa agenda orang yang digelar ‘Datuk’ ini’.

Mawar turut berkongsi sekeping gambar mendedahkan orang suruhan ‘Datuk’ berkenaan tergolong daripada gambar yang telah dikongsikan.

“Minta perhatian Tun M (Mahathir Mohamad) tiada mengena dalam hal ini. Tuan-tuan jangan libatkan Tun M, ya.

“Tak sangka salah ‘seorang’ antara yang menjadi orang suruhan ‘Datuk’ penulis, penyebar dan pereka cerita-cerita fitnah orangnya salah seorang dalam gambar. Terima kasih kerana anda telah menyebar fitnah dengan jayanya,” tulisnya.

Sejak Rabu lalu, tular maklumat dalam aplikasi WhatsApp berhubung Mohd. Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ditahan dalam satu sekatan jalan raya Perasing, di Kemaman, Terengganu pada 16 Mei lalu.

Dalam mesej tular tersebut, ketika ditahan, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu didakwa berada dalam kenderaan bersama seorang wanita yang didakwa sebagai Mawar. – MalaysiaGazette

Wanita menangis terima kompaun, rentas daerah beli barang kemas

EAC73B2B-9853-4628-84A3-A623DAA20903
Dua wanita dikompaun RM5,000 setiap seorang susulan rentas daerah untuk membeli barang kemas di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Keghairahan dua wanita rentas daerah untuk membeli barang kemas di Kompleks Bukit Jambul di sini membawa padah selepas mereka dikompaun RM5,000 setiap seorang.

Masing-masing yang datang dari daerah Barat Daya itu dilihat menangis sebaik pihak polis mengeluarkan notis kompaun kepada mereka.

MalaysiaGazette difahamkan, wanita berusia 23 tahun itu datang untuk membeli cincin manakala serang lagi wanita berusia 58 tahun sedang membuat pilihan barang kemas di premis tingkat bawah kompleks tersebut.

B4FBA957-45D7-4BE8-8F19-50C0358F8309
Soffian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dua wanita itu dikompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menangani penularan Covid-19.

Jelas beliau, alasan itu tidak berasas kerana mereka tidak sepatutnya merentas daerah bagi membeli barang bukan keperluan pada masa ini.

“Selain itu, ada pengunjung yang memberi alasan tidak tahu kompleks beli-belah ini terletak dalam daerah Timur Laut.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah lebih setahun dikuatkuasakan dan orang ramai sepatutnya menjalani kehidupan norma baharu dengan mengambil tahu sempadan daerah masing-masing.

“Dalam operasi itu, kita mengeluarkan kompaun kepada tujuh individu lain atas kesalahan tidak memakai pelitup muka dengan betul serta gagal mengimbas kod QR MySejahtera,” katanya.

48CDCF91-19CE-4615-B32C-FD5F3B871330
Soffian (depan, kanan) ketika mengadakan pemeriksaan 
pematuhan SOP di Kompleks Bukit Jambul di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Kompleks Bukit Jambul di sini, hari ini.

Operasi bersepadu itu turut disertai Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan beberapa agensi berkaitan.

Mengulas mengenai tinjauan pematuhan SOP di kompleks berkenaan, Soffian berkata, kesemua pekerja dan penggunjung dilihat mematuhi SOP ditetapkan.

“Tujuan pemeriksaan ini bukanlah bagi mencari kesalahan semata-mata, tetapi lebih kepada mahu mendidik serta memastikan orang ramai berdisiplin dalam menjalani norma baharu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Soffian menegaskan, sebanyak 95 kompaun kegagalan mematuhi SOP dikeluarkan pihaknya sejak 10 Mei lalu sehingga semalam.

“Kesalahan yang paling banyak dikesan ialah gagal mengimbas MySejahtera diikuti dengan tidak memakai pelitup muka serta kunjungi pusat hiburan.

“Rata-rata yang dikompaun terdiri daripada mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun,” kata Soffian. – MalaysiaGazette