Ahad, 25 April 2021

[VIDEO] Tular satu Malaysia bila Ayob Khan tunjuk skil tebar roti canai

Gambar Ayob Khan 11 tahun lalu di kedai Pak Mydin di pekan 
Tanah Merah, Pendang.

SESEKALI Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay tunjuk skill tebar roti canai, terus jadi tular satu Malaysia.

Bagi yang mengenali beliau secara peribadi, Ketua Polis Johor itu memang diketahui mampu menebar roti canai.

Ini memandangkan bapanya mengusahakan Kedai Kopi Pak Mydin di pekan Tanah Merah di Pendang, Kedah.

Malah, beliau juga pernah berkongsi di Instagram gambar lama ketika kanak-kanak membantu bapanya menyediakan roti canai di kedai kopi tersebut.

Selain gambar lama berusia 42 tahun itu, Ayob Khan juga pernah berkongsi gambar yang dirakam pada 2010 ketika sedang menebar roti canai di kedai makan milik bapanya itu.

Cuma, ramai tak menyangka yang kemahirannya menebar roti canai bukan biasa-biasa, siap ada gaya tersendiri.

Malah dalam rakaman video satu program sahur di Johor Bahru awal pagi tadi, Ayob Khan sempat memperagakan beberapa aksi tebaran ala roti terbang hingga mendapat perhatian ramai netizen.

Terdahulu Ayob Khan dan warga polis Johor diraikan pengamal media negeri itu pada program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Mengetuai rombongan KMJ ke IPK Johor adalah Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Hasni Mohamad bersama Ayob Khan pada program sahur 
KMJ di IPK Johor awal pagi tadi./ Gambar FB Polis Johor

Program tahunan ini bertujuan memberi penghargaan kepada pasukan keselamatan dan perubatan yang bertugas dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan bersama media.

Sebanyak 60 bungkus makanan telah disumbangkan kepada frontliners PDRM Johor sebagai sokongan moral kepada mereka yang bertugas tanpa mengira masa demi kepentingan orang ramai terutamanya ketika negara dilanda wabak COVID-19.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.