Ahad, 25 April 2021

Lebih 6 tan dadah dirampas polis Johor sepanjang 2021 – Ayob Khan

 

POLIS Johor berjaya merampas 6.27 tan dadah pelbagai jenis sepanjang tempoh antara 1 Januari 2021 hingga kelmarin.

Ketuanya, Datuk Ayob Khan berkata, dalam tempoh yang sama turut menyaksikan 4,593 ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor berkaitan kesalahan dadah.

“Turut disita adalah harta bernilai RM22.11 juta.

“Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku,” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan di Facebook Polis Johor.

Ayob Khan petang Sabtu mengadakan sidang akhbar di Johor Bahru berhubung kejayaan operasi dadah baru-baru ini.

[VIDEO] Tular satu Malaysia bila Ayob Khan tunjuk skil tebar roti canai

Dalam sidang akhbar itu, Ayob memaklumkan enam individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, empat wanita dan seorang lelaki warga China berusia 36 hingga 46 tahun ditahan menerusi empat serbuan.

Katanya, dalam operasi baru-baru ini itu, polis merampas sebanyak 2.11 kilogram (kg) syabu, 204 gram magic mushroom, 42 gram serbuk ekstasi, 6.8 gram ketamin, 95 biji pil erimin 5 dan 1,980 pil ekstasi dengan nilai keseluruhan RM126,457.

Selain itu, jelas beliau, sebanyak tiga kenderaan dan wang tunai RM19,448 turut disita.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan ejen pengangkutan lori untuk menghantar dadah ke negara jiran dengan dadah dibungkus dan disembunyikan dalam kerusi kayu untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” kata Ayob Khan.

Kesemua individu yang ditahan kini direman selama tujuh hari sehingga 28 April untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam operasi berasingan, Ayob berkata, pihaknya menahan 10 ahli sindiket pengedaran dadah ‘Ah Chuan’ termasuk ketua mereka yang aktif sejak setahun lalu.

Katanya, penahanan suspek yang berusia lingkungan 21 hingga 51 tahun itu dilakukan menerusi enam serbuan di daerah Johor Bahru bermula 20 April sehingga semalam.

Tegas beliau, susulan hasil soal siasat terhadap seorang individu yang ditahan kemudian membawa kepada pembongkaran sebuah setor pemprosesan serbuk ekstasi bersama sejumlah dadah dan peralatan memproses.

“Rampasan dadah pertama melibatkan sebanyak 49.3 kg serbuk ekstasi, 2.1kg syabu, 450.5 gram (g) heroin, 3.8g ganja, 110g magic mushroom, 12.11g ketamin, 10 biji pil erimin 5 dan lima biji pil ekstasi.

“Kami dapati modus operandi sindiket ini adalah dengan menyewa kondominium berpagar dan berpengawal untuk dijadikan stor proses dadah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.