Oleh MUHAMMAD ZIKRI
PONTIAN – Penduduk di daerah ini dinasihatkan tidak membuat pembakaran terbuka ketika cuaca kering dan berangin bagi mengelakkan kejadian api marak sehingga tidak dapat dikawal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Jalan Alsagoff, Penolong Penguasa Bomba ( PPgB ), Azhar Abd. Jalil berkata, dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1972, Seksyen 29A, orang ramai tidak boleh membenarkan atau menyebabkan pembakaran terbuka.
Katanya, setakat ini dua kejadian pembakaran yang melibatkan kawasan yang besar dilaporkan berlaku, pertama disebelah Stesen Mardi Pontian seluas 16 ekar dan di Kampung Parit Yassin, Benut seluas 10 ekar.
“Bomba telah melaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai kejadian tersebut dan menyerahkan kepada agensi berkenaan untuk mengambil tindakan ke atas pemilik tanah tersebut.
“Selain dua lokasi tersebut terdapat juga laporan kebakaran terbuka berlaku di beberapa lokasi yang berpunca daripada tindakan pemilik kebun yang membuat pembakaran terbuka ketika cuaca kering dan berangin,” katanya ketika dihubungi di sini.
Terdahulu, tular satu Memo Larangan Pembakaran Terbuka dari Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian serta gambar seorang anggota Bomba memegang papan tanda yang berbunyi’ Musim Panas & Berangin, Bantu Kami Yang Ingin Membantu Anda’.
Tambah Azhar, penggunaan media sosial diharap mempercepatkan lagi penyebaran maklumat kepada orang awam supaya tidak membuat pembakaran terbuka walaupun bagi tujuan pembersihan untuk pertanian.
“ Seperti kes pembakaran terbuka di Kampung Parit Yassin, difahamkan pemilik kebun membuat pembakaran terbuka bagi tujuan penanaman nanas pada masa akan datang,” ujarnya.
Bagaimanapuan katanya, hujan yang turun pada petang semalam telah membantu memadamkan api kebakaran di kawasan berkenaan.-K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.