PUTRAJAYA: Seramai 465,081 orang sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pendaftaran terbabit diterima melalui aplikasi MySejahtera setakat jam 2.45 petang tadi di mana kepada yang belum lagi memuat turun aplikasi atau update MySejahtera, anda bolehlah berbuat sedemikan selepas ini.
Katanya, setelah berjaya mengemaskini aplikasi MySejahtera, logo Vaksinasi Covid-19 akan terpapar dan seterusnya ikut sahaja arahan yang dinyatakan.
“Secara ringkasnya, anda perlu mengesahkan maklumat anda, kemudiannya menjawap beberapa soalan yang berkaitan dengan kesihatan anda dan seterusnya, tekan butang hantar.
“Maklumat yang anda hantar ini akan dipadankan dengan maklumat yang terkumpul di MySejahtera seperti rekod kesihatan daripada pusat kesihatan kerajaan mahu pun swasta,” katanya pada sidang akhbar sempena kejayaan pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa Pertama di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Muhyiddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berjaya disuntik vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech menggunakan picagari khas Low Dead Volume (LDV) oleh Ketua Jururawat Kesihatan PKD Putrajaya, Lina ibrahim yang dibantu Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Mazirah Mokhtar, jam 2.42 petang.
Khairy berkata, sama ada anda telah mendaftar pada hari semalam atau hari ini, ataupun akan mendaftar selepas ini, tarikh serta masa untuk anda menerima vaksin masih lagi tertakluk kepada fasa yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu:
Katanya, fasa dua, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan individu berisiko tinggi; fasa tiga, penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas.
“Jangan khuatir atau bimbang sekiranya anda masih belum menerima apa-apa maklumat temu janji dalam masa terdekat ini.
“Temu janji akan diberikan secara berperingkat selaras dengan fasa vaksinasi yang telah dikenal pasti untuk seseorang individu itu,” katanya.
Tambahnya, semua maklumat yang diterima menerusi pendaftaran akan diproses bagi membolehkan penyediaan senarai penduduk di Malaysia mendapatkan vaksinasi mengikut keutamaan.
Contohnya, katanya, sekiranya anda layak berada dalam fasa kedua, anda akan diberi temu janji lebih awal jika dibandingkan dengan mereka yang lain.
“Manakala bagi mereka yang lain pula, keutamaan pemberian vaksin pada fasa 3 adalah berpandukan zon lokasi tempat tinggal anda sama ada merah, kuning atau hijau sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Buku Panduan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19.
“Sekiranya dalam tempoh terdekat ini, kita mampu mengembalikan semua lokaliti kepada zon hijau, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan membuat penilaian risiko yang mengambil kira kepadatan penduduk sesuatu tempat serta kebarangkalian berlakunya penularan dalam sesuatu lokaliti,” katanya.
Mengulas lagi, Khairy berkata, ia sangat penting bagi membolehkan Badan Bertindak merancang faktor logistik terutamanya bekalan stok vaksin serta kerahan sumber manusia termasuklah untuk menyediakan pusat vaksinasi berskala besar.
“Walaupun CITF telahpun membuat mapped-out kepadatan penduduk bagi sesuatu kawasan, kita juga sedar masih terdapat kumpulan yang masih ragu-ragu dengan vaksin ini. Justeru, penting untuk kita mendapat maklumat yang lengkap bagi memastikan soal logistik dan sumber manusia dapat dioptimumkan,” katanya.UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.