KUALA LUMPUR: Dakwaan golongan antivaksin mengaitkan suntikan vaksin COVID-19 dengan pelbagai teori konspirasi termasuk agenda Yahudi adalah tidak benar dan terpesong.
Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed, menyifatkan dakwaan terbabit sebagai tindakan tidak matang golongan berkenaan.
"Andai kata ini adalah agenda Yahudi, seperti yang kita tahu Israel adalah negara yang paling banyak memberi vaksin kepada rakyatnya, hampir 75 peratus.
"Malah, sehingga kini tiada laporan kita dengar kononnya rakyat Israel mati selepas mengambil vaksin terbabit," katanya dalam program temu bual secara langsung di Radio JAKIM Salamfm , malam ini.
Syed Shahridzan berkata, golongan antivaksin dilihat mencuba pelbagai cara untuk menyokong sentimen mereka termasuk mendakwa vaksin yang diperoleh adalah tidak halal.
Beliau berkata, vaksin yang diperoleh Malaysia sudah disahkan tidak mengandungi sebarang unsur haram atau meragukan.
"Golongan antivaksin ini sebenarnya salah faham. Majlis Fatwa Kebangsaan mengesahkan tiada unsur haram dan meragukan.
"Saya sendiri duduk dalam pejabat mufti dan tahu bagaimana proses serta perjalanan Majlis Fatwa Kebangsaan meneliti vaksin terbabit.
"Kita bukan buat keputusan secara suka-suka, ada pengkaji, kita panggil Kementerian Kesihatan (KKM), panggil mereka yang pakar, sampaikan kita siasat KKM ibarat kita menyiasat penjenayah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.