KUALA LUMPUR – Syarikat perkhidmatan penghantaran makanan diingatkan menjaga kebajikan dan keselamatan para penghantarnya yang boleh dianggap sebagai petugas barisan hadapan.
Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun, penghantar makanan ‘berpanas dan berhujan’ selain berdepan risiko menghantar tempahan pelanggan ketika pandemik Covid-19.
“Selain kumpulan pekerja di sektor kesihatan dan keselamatan, penghantar makanan juga merupakan frontliners.
“Sepanjang setahun kita berdepan pandemik Covid-19, rata-rata mereka yang bekerja menempah makanan secara dalam talian,” katanya kepada pemberita di hadapan pejabat UMNO Bahagian Ampang hari ini.
Terdahulu Shahrul menyampaikan 200 topi keledar kepada barisan penghantar makanan yang disumbangkan Pergerakan Pemuda UMNO Ampang.
Dalam pada itu Shahrul, penghantar makanan seperti GrabFood dan Foodpanda menempuh perjalanan serta pelbagai cabaran setiap hari.
Bagaimanapun, aspek keselamatan para penghantar makanan tidak diambil peduli oleh syarikat penghantar makanan.
“Sepatutnya syarikat penghantar makanan melindungi keselamatan pekerja dengan membekalkan peralatan keselamatan selain menjaga kebajikan mereka.
“Keperluan seperti topi keledar, sarung tangan dan juga jaket keselamatan bertujuan untuk melindungi penunggang motosikal apabila berlaku kemalangan,” katanya.
Katanya lagi, keadaan itu berbeza di luar negara di mana kebanyakan penunggang motosikal mengutamakan soal keselamatan.
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setahun lalu, pelanggan memilih untuk membuat tempahan makanan secara dalam talian.
Peningkatan tempahan mendadak sekaligus mendorong anak muda terutama yang telah hilang pekerjaan memilih bekerja sebagai penghantar makanan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.