Bernama
Muhyiddin berkata pada 2021, Malaysia juga ingin memainkan
peranan yang lebih aktif di pentas global. - Bernama
KUALA LUMPUR:
Kepimpinan Malaysia di peringkat antarabangsa terus diiktiraf apabila
Visi Putrajaya 2040 diterima dan disepakati sebagai visi baharu oleh
negara anggota APEC untuk mewujudkan Komuniti Asia Pasifik yang aman,
terbuka dan berdaya tahan menjelang 2040, kata Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata Malaysia
berjaya melakar sejarah apabila menganjurkan persidangan Kerjasama
Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) secara maya buat julung kali dengan jayanya
pada November lepas.
"Sesungguhnya, pengiktirafan negara anggota APEC ini merupakan satu penghormatan yang amat besar dan bermakna buat Malaysia.
"Momentum
ini perlu dikekalkan bagi memastikan Malaysia dapat terus seiring
dengan negara-negara lain khususnya di rantau Asia Pasifik dalam menarik
pelaburan langsung dari luar negara," katanya semasa menyampaikan
perutusan khas sempena tahun baharu 2021 'Bersemangat Melangkah ke Tahun
Baharu 2021' yang disiarkan secara langsung malam tadi.
Muhyiddin berkata pada 2021, Malaysia juga ingin memainkan peranan yang lebih aktif di pentas global.
Beliau
berkata pandemik COVID-19 telah sedikit sebanyak merubah 'orde global',
justeru membuka peluang untuk Malaysia menonjolkan kepimpinan yang
lebih dinamik di peringkat dunia.
"Masanya
sudah tiba untuk Malaysia muncul sebagai kuasa yang disegani, berani
memperjuangkan kemakmuran bersama dan keamanan sejagat secara
konsisten," katanya.
Beliau berkata
selain mempererat hubungan dengan jiran tetangga dalam rantau ASEAN,
kerajaan akan terus memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi dengan
negara-negara yang berkongsi aspirasi sama, melalui platform yang sudah
sedia ada dan yang bakal dipelopori.
Hubungan
Malaysia dengan negara-negara luar dari segi diplomasi, keselamatan dan
ekonomi akan sentiasa berpaksikan kepentingan strategik untuk jangka
panjang, katanya.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.