TANAH MERAH: Intipan dan pemantauan selama dua hari oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) berhasil menemukan sebuah stor menyimpan sejumlah beras seludup di Kampung Bendang Buyong, Jalan Jedok, di sini.
Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam serbuan jam 4 pagi semalam, dua lelaki berusia 24 dan 41 tahun yang dipercayai pemilik serta penjaga stor turut ditahan.
Beliau berkata, serbuan hasil maklumat awam mengenai kegiatan penyimpanan beras seludup dan anggotanya melakukan intipan serta pemantauan di sekitar pangkalan haram sempadan Malaysia-Thailand, di sini.
"Hasil intipan menemui lokasi beras seludup yang disimpan sementara sebelum diedarkan mengikut permintaan.
"Ketika serbuan dibuat, muncul dua lelaki yang mengaku pemilik serta penjaga stor berkenaan dan anggota kita mengarahkan mereka membuka pintu stor.
"Hasil pemeriksaan yang dibuat menemui sebuah lori dan sebanyak 22 tan beras serta 23 tan beras pulut yang disyaki diseludup daripada negara jiran," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Nor Azizan berkata, hasil pemeriksaan juga menemui beberapa cop Jabatan Kawal Selia Padi dan Beras Kelantan yang dipercayai dipalsukan.
Beliau berkata, pemilik stor berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen terkini mengenai kemasukan beras ke dalam stor terbabit.
"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM299,000 dan laporan dibuat di Balai Polis Batu Gajah untuk tindakan lanjut.
"Semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kawal Selia Padi dan Beras negeri Kelantan dan disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.