Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
SHAH ALAM: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua memberi kesan kepada pelbagai golongan, tidak terkecuali pemandu e-hailing yang mengalami nasib sama walaupun mereka dibenarkan bekerja dalam tempoh itu.
Seorang pemandu e-hailing, Mohd. Azhar Subhi, 38, berkata, pendapatannya terjejas lebih 50 peratus memandangkan tidak ramai menaiki keretanya untuk ke pejabat.
“Malah, ada juga hari yang saya tidak dapat penumpang langsung, walaupun memandu dari Shah Alam ke Kuala Lumpur untuk mencari pelanggan.
“Walaupun tiada penumpang, saya hanya mampu kuatkan semangat untuk bertahan memandangkan ini pekerjaan tetap,” katanya ketika ditemui dalam program Projek Free Meal anjuran MyFundAction di Seksyen 13, di sini hari ini.
Terdahulu, MyFundAction, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengedarkan sebanyak 300 pek makanan tengah hari kepada pemandu e- hailing dan penghantar makanan dan bungkusan bermotosikal (p-Hailing).
Sementara itu, seorang penghantar p-Hailing, Shahriman Ismail, 24, berkata, lambakan penghantar makanan seperti ketika ini menjejaskan sedikit pendapatannya.
Menurutnya, jika dahulu, dia mampu menjana pendapatan kira-kira RM250 dalam tempoh sehari pada awal penglibatannya sebagai penghantar p-Hailing sejak Januari tahun lalu.
“Namun, kini saya hanya mendapat kira-kira RM80 hingga RM100 satu hari. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ramai pelanggan yang menggunakan perkhidmatan ini, “katanya yang baru mendirikan rumah tangga dua bulan lalu.
Sementara itu, Ketua Projek Free Meal, Arisa Azmi berkata, bantuan memberi makanan kepada golongan terbabit adalah yang pertama kali dilakukan.
“Tujuan kita memberikan bantuan adalah untuk berkongsi rezeki bersama mereka yang rata-rata terjejas kerana terdapat lambakan pemandu akibat segelintirnya telah dibuang kerja.
“Kita mengadakan program ini untuk menghargai sumbangan mereka yang sentiasa berkhidmat terhadap masyarakat tanpa mengira waktu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.