Khamis, 28 Januari 2021

Orang ramai diminta tidak menjerat babi hutan elak ia bertindak ganas

Bernama
Orang ramai diminta tidak menjerat babi hutan elak ia bertindak ganas
Berdasarkan aduan diterima, 874 ekor babi hutan telah dilupuskan pada 
tahun lalu berbanding 521 pada tahun 2019. - Gambar hiasan
 
PARIT BUNTAR: Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan dengan memasang jerat bagi mengatasi masalah ancaman babi hutan kerana akan menyebabkan haiwan liar itu menjadi ganas.
 
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata sesiapa yang mengesan kehadiran babi hutan di sesuatu kawasan perlu membuat aduan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.
 
"Saya berharap orang ramai jangan memasang jerat tetapi hendaklah membuat laporan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut kerana khuatir terhadap keselamatan orang ramai sekiranya jerat yang dipasang itu menyebabkan kecederaan kepada babi hutan sehingga membuatkan haiwan itu bertindak ganas," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
 
Beliau berkata pihaknya telah melakukan operasi menembak mati dan memasang perangkap bagi mengatasi masalah ancaman haiwan liar itu dan berdasarkan aduan diterima, 874 ekor babi hutan telah dilupuskan pada tahun lalu berbanding 521 pada tahun 2019.
 
Yusoff diminta mengulas berhubung kejadian seorang petani yang cedera diserang seekor babi hutan ketika sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Batu 10, Jalan Pantai, Tanjung Piandang pada Isnin lalu.
 
Beliau turut meminta orang ramai supaya menguruskan pembuangan sampah dan sisa makanan dengan baik termasuk membersihkan semak-samun dan hutan belukar bagi mengelakkan pembiakan haiwan liar itu.
 
Dalam kejadian itu, mangsa Mohd Ramli Putih, 49, mengalami kecederaan pada lengan dan bahu kanan akibat disondol oleh seekor babi hutan yang cedera dipercayai terkena perangkap berikutan terdapat tali yang terikat pada kakinya.
 
Mohd Ramli ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parit Buntar Md Nayan Salleh semalam berkata beliau masih trauma dan tidak dapat melakukan kerja berat akibat kejadian itu.
 
BACA: Penunggang maut, motosikal terlanggar binatang di Jalan Ipoh - Kuala Lumpur
BACA: Penduduk resah babi hutan terus ceroboh tanah perkuburan
 
Menceritakan kejadian kira-kira 11 pagi itu, Mohd Ramli berkata babi hutan itu secara tiba-tiba datang dari arah sawah padi dan merempuh motosikal dinaikinya semasa dalam perjalanan ke rumah selepas membeli sekampit simen di Pekan Tanjung Piandang.
 
"Saya kemudian terjatuh bersama motosikal dan ketika cuba untuk bangun, babi hutan itu sekali lagi menyondol belakang badan saya dan menyebabkan saya terhempas kali kedua di atas jalan.
 
"Tanpa menghiraukan kesakitan yang dialami, saya bangun dan memberanikan diri untuk menendang babi itu yang cuba menyerang saya lagi sehingga ia terjatuh ke dalam longkang sawah," katanya.
 
Katanya beliau kemudian pulang ke rumah yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian dan mengambil sebatang besi untuk memukul babi hutan itu sehingga mati kerana bimbang ia mencederakan orang lain di kawasan tersebut.-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.