Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
MELAKA: Seorang gadis iaitu jiran kepada kanak-kanak yang dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya semalam (Jumaat), sempat mengambil gambar mangsa sedang termenung kira-kira tiga minggu lalu.
Menurutnya yang enggan dikenali, dia mengambil gambar mangsa selepas beberapa kali melihatnya termenung di bahagian hadapan dan belakang rumah.
“Saya sengaja mengambil gambarnya selepas beberapa kali melihatnya termenung pada minggu lalu.
“Ketika mengambil gambar, saya ada melambainya. Namun mangsa tidak membalasnya dan terus masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui di Taman Krubong Jaya di sini.
Ibu gadis berkenaan pula memberitahu, selepas mendapat tahu tentang nasib malang yang menimpa arwah, dia telah berkongsi gambar diambil anaknya itu dengan keluarga angkat mangsa yang turut tular menerusi laman sosial Facebook.
“Saya ada mengucapkan takziah kepada keluarga angkatnya dan kebetulan anak saya pernah mengambil gambar arwah sedang termenung, jadi saya kongsikan gambar tersebut dengan mereka,” katanya.
Gambar mangsa yang termenung di tingkap rumahnya itu menjadi tular sejak petang tadi.
Mengulas lanjut mengenai sikap kanak-kanak itu sepanjang duduk bersama ibu kandung dan bapa tirinya, keluarga itu berkata, arwah pernah dilihat bermain dengan dua adik-beradiknya di dalam pekarangan rumah.
“Kami sekeluarga bekerja dan hanya pulang lewat petang, jadi kami tidak tahu apa yang berlaku di rumah tersebut. Sekali sekala nampak dia (mangsa) bermain, ada juga mendengar suara budak menangis tetapi ia tidaklah kerap atau melolong,” katanya.
Tambahnya, dia hanya mengetahui kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia selepas ternampak ambulans di hadapan rumah keluarga tersebut dan dimaklumkan ayah tirinya bahawa kanak-kanak itu lemas di dalam tong air.
Dalam pada, seorang lagi jirannya yang merupakan suri rumah berusia 43 tahun mendakwa, semasa kejadian pada petang semalam, dia dimaklumkan oleh seorang pegawai perubatan bahawa mangsa telah lama meninggal dunia.
“Apabila nampak ada ambulans datang, saya terus bergegas ke luar rumah dan diberitahu oleh ayah tiri mangsa bahawa anaknya telah meninggal dunia akibat lemas. Saya juga nampak ibu mangsa duduk diatas sofa sambil menangis.
“Saya kemudian bertanya kepada pasukan paramedik di lokasi mengenai kejadian tersebut dan salah seorang daripada mereka. Saya tak pasti sama ada doktor atau pegawai perubatan maklumkan kanak-kanak itu sebenarnya sudah lama meninggal dunia,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.