Jumaat, 1 Januari 2021

2020 ditinggalkan dengan kereta terbang

Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN

MOHAMED KHALED NORDIN

KUALA LUMPUR: Tahun 2020 bukanlah tahun yang cemerlang seperti yang dibayangkan jauh sekali menyaksikan negara ini bakal memiliki kereta terbang pertama seperti yang dirancang kerajaan.

Itu kenyataan yang dikongsikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sempena tahun baharu 2021 yang akan membuka lembarannya lewat tengah malam ini.

Beliau berkata, hakikatnya, tahun 2020 merupakan tahun yang mencatatkan pendapatan dan pelaburan yang terburuk rentetan penularan wabak Covid-19 selain bukti bahawa kematangan politik dan perpaduan belum mencapai piawaian yang diinginkan. 

“Benar, 2020 bukan tahun terbaik untuk kita semua tetapi, ia tidak harus kita biarkan berlalu tanpa sebarang muhasabah dan pengajaran. Sebenarnya, 2020 turut meminjamkan kebaikan dan hikmah yang besar malah, tahun ini menyaksikan kita sebagai sebuah bangsa, berpadu menghadapi musuh kecil yang tidak kelihatan. 

“Tahun ini menyaksikan segenap pelosok negara bekerja keras dan berkorban demi kelangsungan hidup dan kemandirian negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kereta terbang atau lebih dikenali sebagai projek mobiliti udara super drone merupakan inisiatif kerajaan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof bermula sejak tahun 2019. 

Ia bertujuan bagi memacu teknologi baharu yang masih belum wujud selain merealisasikan impian ‘zaman remaja’ Mohd. Redzuan untuk melihat kereta terbang di negara ini menjelang tahun 2020.

Kementerian sebelum ini sudah menampilkan prototaip kereta terbang iaitu Vector sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada 2019 yang dijangka lahir pada suku ketiga tahun ini bagaimanapun, impian itu hanya kekal impian apabila dilihat gagal mencapai matlamat selain wabak Covid-19 masih berleluasa. 

Mengulas lanjut, Khaled antara lain berkata, susulan keadaan wabak Covid-19 yang masih belum pulih, tahun 2020 juga membuktikan bahawa semua pihak bersedia melakukan pelbagai perubahan rutin demi menghidupkan norma baharu dalam kehidupan.

Justeru itu, beliau menyeru agar semua pihak menuju tahun baharu dengan menggarap segala kekuatan yang ada untuk terus bertahan dan bangkit semula walau apa jua keadaan sekalipun.  

“Semua ini adalah lambang kekuatan dan kesediaan kita untuk berubah demi menjadi lebih selamat, lebih berketahanan dan lebih baik. Bangkit sebagai bangsa yang tidak lentur dengan dugaan, bangkit sebagai bangsa yang bersatu, bangkit untuk bersama-sama menjadi lebih baik, InshaAllah,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.