Mohamed Farid Noh
Iskandar Puteri: Sebanyak 13 hotel di negeri ini ditutup dengan kadar purata penginapan turun mendadak kepada 27.66 peratus pada Ogos lalu, susulan penutupan sempadan Malaysia-Singapura.
Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sektor pelancongan adalah antara sektor yang paling terkesan akibat penutupan sempadan sejak 18 Mac lalu berikutan wabak Covid-19.
Katanya, tahun lalu kadar purata penginapan di negeri itu adalah 57.3 peratus.
"Selain hotel ditutup, pemandu pelancong hilang punca pendapatan dan penurunan ketara jumlah pelawat di taman tema dan juga pusat membeli belah.
"Kerajaan Johor sedar tentang betapa pentingnya pembukaan sempadan Malaysia-Singapura terutamanya untuk sektor pelancongan bernafas semula sekali gus menggerakkan sektor lain.
"Itulah sebabnya Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad membawa isu pembukaan sempadan ini ke Putrajaya setiap minggu, bukan sahaja dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) malah ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sekali gus menjadi negeri pertama diberi ruang untuk membentangkan status ekonominya.
"Bagaimanapun, kita semua maklum bahawa untuk agenda pembukaan sempadan ini ia memerlukan persetujuan antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan semestinya, kerajaan Singapura, selain faktor kesihatan dan keselamatan yang mana angka Covid-19 perlu rendah di kedua-dua negara," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-Seri Medan) yang ingin tahu status terkini sektor pelancongan Johor pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang berkata, kerajaan negeri pada awalnya teruja dengan pengumuman gelembung perjalanan antara Hong Kong dan Singapura, yang akan memberi harapan kepada Johor untuk mengaplikasikan skim berkenaan dalam usaha pemulihan sektor pelancongan.
"Namun, pada 21 November lalu, sehari sebelum pelaksanaan gelembung perjalanan berkenaan, kerajaan Singapura mengumumkan pembatalan skim itu berikutan kes Covid-19 di Hong Kong tiba-tiba naik mendadak semula.
"Percaya dan yakinlah, demi kelangsungan ekonomi dan sektor pelancongan, kerajaan Johor akan terus berusaha untuk merungkai dan menyelesaikan isu pembukaan sempadan ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.