PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini hairan apabila diajukan soalan sama ada kerajaan sudah membenarkan membuka sempadan kepada pelancong asing.
Beliau menegaskan, kerajaan bukan sahaja masih tidak membenarkan kemasukan pelancong asing dari seluruh dunia, malah tidak pernah pun membuka pintu sempadan kepada mana-mana pelawat.
Sebaliknya, berkata, apa yang berlaku adalah pelajar asing kembali semula sambung pengajian atau pendaftaran baharu.
“Itu pun penuntut warga Britain dilarang manakala pelajar lain diwajibkan menjalani ujian calitan (swab) tiga hari sebelum berlepas dan kuarantin apabila tiba di negara ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung reaksi warganet yang meluahkan marah kepada kerajaan ekoran lewat mengumumkan sekatan perjalanan pelawat dari Britain, Afrika Selatan dan Hong Kong.
“Setakat ini hanya diplomat dan ekspatriat (pegawai dagang) yang ada urusan di Malaysia boleh masuk, bahkan kita langsung sekat pelawat dari 23 negara berisiko tinggi,” jelasnya.
Justeru, beliau menyifatkan desakan pihak tertentu agar kerajaan bertegas umum larangan kemasukan rakyat asing sebagai pelik kerana memang selama ini pintu sempadan ditutup.
Menyentuh isu rakyat Malaysia dari Britain, Afrika Selatan dan Hong Kong untuk pulang ke tanah air, Ismail Sabri memberi jaminan mereka masih lagi dibenarkan berbuat demikian.
Rakyat ujarnya, ada hak dijamin perlembagaan dan berdasarkan peraturan imigresen untuk balik ke negara ini walaupun dari negara yang diketahui amat tinggi kadar jangkitan Covid-19.
“Ini sama seperti kes peserta jemaah tabligh Malaysia yang terkandas di India, kita sedia bantu pulang dan seperti biasa mereka pun menjalani kuarantin di stesen ditetapkan,” katanya.
Ditanya apakah kerajaan akan perketatkan semula prosedur operasi standard (SOP) ekoran ramai dilihat mulai alpa, beliau berkata isu itu terpulang atas penilaian Kementerian Kesihatan.
Beliau juga mengakui terkejut apabila melihat media melaporkan orang ramai tidak lagi jaga SOP setelah diberi kelonggaran merentas daerah dan negeri untuk bercuti atau balik kampung.
“Setiap dua minggu, kementerian ini akan buat penilaian risiko dan kita tidak tolak keadaan kembali seperti sebelum ini jika senario penularan wabak bertambah serius,” kata Ismail Sabri.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.