Selasa, 29 Disember 2020

Pendaki cedera terjatuh di Gunung Pulai

Oleh NORLIA RAMLI
LIM Kom Hoong cedera di kepala selepas tergelincir dan terjatuh ketika menuruni Gunung Pulai, Baling, Kedah hari ini. 
BALING: Seorang pendaki mengalami kecederaan selepas dipercayai tergelincir dan terjatuh ketika menuruni Gunung Pulai di sini hari ini.

Ketika kejadian itu berlaku, mangsa, Lim Kom Hoong, 48, dari Kuala Lumpur, bersama empat lagi rakannya berada pada ketinggian kira-kira 300 meter di gunung itu pada pukul 12.30 tengah hari.

Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Jamil Mat Daud, berkata, mangsa dan rakan-rakannya itu dikatakan mendaki gunung tersebut pada pukul 9 malam semalam untuk bermalam di puncak gunung berkenaan.

Menurutnya, mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 12.41 tengah hari dan bergegas ke kaki gunung untuk operasi menyelamat.

“Sembilan anggota Bomba dan penyelamat Baling segera ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

“Mangsa mengalami cedera di kepala dan dahi akibat tersembam dan terhantuk di batu yang tajam serta kakinya juga turut cedera ketika menuruni gunung itu,” katanya ketika ditemui di kaki Gunung Pulai di sini hari ini.

Gunung Pulai yang terletak di Mukim Pulai di sini mempunyai ketinggian kira-kira 620 meter dan merupakan gunung kedua tertinggi di Kedah selepas Gunung Jerai.

Mohd. Jamil berkata, proses menurunkan mangsa mengambil masa kira-kira enam jam memandangkan keadaan laluan pendaki yang agak jurang dan berbahaya.

“Walau bagaimanapun, mangsa mampu berjalan tetapi mengalami keletihan dan terpaksa diusung untuk membawanya turun,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya meminta orang ramai yang ingin mendaki ke puncak Gunung Pulai atau Baling di sini memaklumkan kepada Bomba dan Penyelamat terlebih dahulu untuk keselamatan mereka.

Selain itu, tambahnya, pendaki juga  boleh menggunakan perkhidmatan malim gunung untuk jurupandu dan menjaga keselamatan memandangkan keadaan laluan yang berbahaya. – UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.