Dungun: Seorang lelaki maut manakala abangnya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki bertembung dengan treler di kilometer 67, Jalan Jerangau-Jabor, dekat Cermin Kiri, Jerangau, di sini, hari ini.
Dalam nahas 12.15 tengah hari itu, mangsa Mohd Aisamudin Ibrahim, 33, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala abangnya, Mohd Syukri Ibrahim, 45, cedera ringan.
Ketika kejadian, MPV Perodua Alza yang dinaiki dua beradik itu yang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Dungun dikatakan hilang kawalan lalu berlanggar dengan treler dari arah bertentangan.
Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum orang ramai menghubungi bomba.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Bandar Al Mukttafi Billah Shah Zul Husni Abdul Rahman berkata, tujuh anggota dari BBP Bandar bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, sebaik tiba, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa, manakala mangsa yang cedera sudah dikeluarkan dengan bantuan orang ramai.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.