Bernama
Mufti
Negeri Johor Datuk Yahya Ahmad mencadangkan kerajaan Persekutuan
mengehadkan bilangan negara pengeksport daging halal bagi mengelak
berulangnya isu kartel daging sejuk beku menggunakan cop halal palsu. -
Gambar hiasan
PUTRAJAYA:
Pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada rumah
sembelih atau loji pemprosesan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan
Veterinar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahaja.
Mengulas
isu sindiket seludup daging yang terbongkar dua hari lepas, Timbalan
Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata daging dan
produk daging yang diimport juga perlu pengesahan halal dari badan
pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.
"Pengimport
juga perlu mengemukakan bersama sijil kesihatan daripada pihak berkuasa
veterinar negara pengeksport dan kelulusan permit import dari pihak
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sebelum
daging dan produk daging tersebut dibenarkan masuk ke pasaran negara
ini," katanya dalam kenyataan semalam.
Abdul
Aziz turut menzahirkan penghargaan kepada agensi yang terlibat
melaksanakan operasi bersepadu perihal dagangan halal yang dipercayai
digunakan sindiket penyeludupan daging sejuk beku terbabit.
Rabu lepas, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan Maqis kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku.
Kartel
berkenaan dipercayai menjadikan sebuah gudang di Senai sebagai lokasi
untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada
kotak daging yang telah dibungkus semula itu.
Di
JOHOR BAHRU, Mufti Negeri Johor Datuk Yahya Ahmad mencadangkan kerajaan
Persekutuan mengehadkan bilangan negara pengeksport daging halal ke
Malaysia bagi mengelak berulangnya isu kartel daging sejuk beku
menggunakan cop halal palsu.
Yahya
berkata, langkah berkenaan penting agar pihak berkuasa dapat mengenal
pasti dan mengawal syarikat pembekal daging halal di negara terbabit
untuk mematuhi standard, kualiti dan standard penarafan halal yang
ditetapkan kerajaan Malaysia.
"Sudah
sampai masanya, kerajaan Malaysia mengehadkan syarikat yang diberi lesen
mengimport daging halal dari luar negara hanya kepada syarikat yang
dimiliki oleh orang Islam, sama ada pemilikan penuh atau pemegang saham
terbesar syarikat berkenaan.
"Hanya orang
Islam yang boleh memahami sensitiviti makanan halal untuk umat
Islam...Ketulenan halal sesuatu makanan, terutama yang melibatkan daging
adalah merupakan suatu perkara yang sentiasa dijaga dan diawasi oleh
masyarakat Islam," katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.
Beliau
berkata, kerajaan juga diharapkan dapat menghantar pegawai pengesah
halal dari Malaysia dan ditempatkan di setiap syarikat penyembelihan dan
ladang ternakan lembu yang terpilih untuk membekalkan daging import ke
negara ini.
Katanya, pegawai berkenaan
akan ditugaskan untuk membuat lawatan ke ladang-ladang ternak lembu dan
kilang penyembelihan milik syarikat-syarikat pengeksport secara berkala
bagi memantau proses penyembelihan halal dilakukan berbanding ketika ini
pegawai pengesah halal ke negara pengeskport hanya ditempatkan di
pejabat kedutaan Malaysia.
Menurutnya,
dalam urusan pengimportan daging halal, pihak pengimport di negara kita
juga tidak lagi boleh bergantung kepada pengesahan halal dari negara
pengeksport semata-mata kerana terdapat sesetengah negara pengeksport
pengesahan halal hanya dikeluarkan oleh pertubuhan masyarakat Islam di
negara berkenaan.
"Keupayaan mereka untuk
mengesahkan daging sembelihan halal mengikut standard masih tidak dapat
diyakini sepenuhnya. Sebaliknya, perlu sentiasa merujuk bagi
mendapatkan pengesahan kepada Jabatan Agama Islam negeri-negeri dan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.