Bernama
Tinjauan di sekitar Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR:
Kenderaan perisai tambahan dan anggota daripada Jabatan Siasatan
Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman
akan digerakkan mulai hari ini ke sempadan Malaysia-Thailand bagi
mengukuh kawalan sempadan negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul
Hamid Bador.
Ini berikutan insiden kedua
serangan penyeludup terhadap anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang
bertugas di sempadan negara pada petang Rabu, selepas serangan pertama
sehari sebelum itu menyebabkan seorang anggota PGA terkorban dan seorang
lagi cedera parah.
Beliau
berkata pasukan operasi daripada JSJ dan JSJN serta Unit Komando 69
digerakkan ke kawasan sempadan bagi melumpuhkan pergerakan kumpulan
penyeludup.
“Tindakan pantas Polis Diraja
Malaysia telah berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dan penyeludupan
dadah dengan polis Kedah merampas lebih 100 kilogram heroin dianggarkan
bernilai RM10 juta pada petang semalam,” katanya kepada Bernama.
Abdul
Hamid turut menyatakan rasa bangganya terhadap anggota PGA yang terus
bersemangat dalam melaksanakan tugas walaupun berhadapan dengan serangan
penyeludup.
"Serangan itu tidak melunturkan semangat pegawai dan anggota PGA yang bertugas di kawasan sempadan," katanya.
Media semalam, melaporkan seorang anggota PGA cedera ringan
selepas terkena tembakan ketika menjalankan rondaan bersama seorang
anggota lain di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah
dalam kejadian pada kira-kira 6.15 petang itu.
Ekoran
itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam
Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata PGA yang ditugaskan
mengawal sempadan Malaysia -Thailand akan menukar strategi dan sistem
rondaan di kawasan terbabit untuk mengekang sebarang kegiatan
penyeludupan.
Perubahan strategi itu
perlu kerana sejak kebelakangan ini, sering berlaku kejadian tembakan
sehingga mencederakan anggota pasukan berkenaan.
Selain
itu, semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob berkata Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang melaksanakan
Op Benteng mempertimbangkan untuk menambah bilangan anggota di kawasan
sempadan Malaysia-Thailand dengan melibatkan pelbagai agensi.
Senada
dengan perkara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan
Sri Affendi Buang berkata ATM sentiasa berusaha memperkasa dan
memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan melalui kekerapan
rondaan selain penggunaan aset seperti dron bagi mengesan sebarang
pergerakan di sempadan negara.
Dalam kejadian pertama
pada 3.10 pagi Selasa, anggota PGA Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut,
manakala Sarjan Norihan a/l Tari, 39, parah dalam kejadian berbalas
tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.