Khamis, 26 November 2020

PGA tukar strategi, sistem rondaan sempadan negara

BERNAMA
 
ANGGOTA PGA sedang mengawal Pos Sekatan Jalan Raya Taman Radzi di Padang Besar. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan mengawal sempadan Malaysia -Thailand akan menukar strategi dan sistem rondaan di kawasan terbabit untuk mengekang sebarang kegiatan penyeludupan.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut strategi dan sistem itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, perubahan itu berikutan sempadan negara sejak kebelakangan ini sering berlaku kejadian tembakan sehingga mencederakan anggota pasukan berkenaan.

"Melihat kepada insiden seorang anggota PGA yang bertugas di Bukit Kayu Hitam, Kedah cedera ditembak dengan senapang angin, kami akan memperketatkan kawalan di sempadan dan menambah baik sistem agar kegiatan penyeludupan tidak dapat menembusi sempadan negara kita.

"Selain itu, PGA akan membuat rondaan pagar ke pagar (di pintu kecil sempadan) di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 30 hingga 40km untuk berhubung dengan pihak berkuasa Thailand," katanya kepada Bernama.

Media hari ini, melaporkan seorang anggota PGA cedera ringan selepas terkena tembakan ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, petang tadi.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kejadian berlaku 6.15 petang semasa anggota PGA itu sedang menjalankan rondaan bersama seorang anggota lain di kawasan berkenaan.

Mengulas mengenai kecederaan anggota PGA yang bertugas dekat Bukit Kayu Hitam itu, Abd Rahim berkata, anggota berkenaan tidak mengalami kecederaan serius.

"Suspek yang menembak anggota saya menggunakan senapang cicak (senapang angin) itu, tembakannya mengenai perut mangsa yang hanya mengalami sedikit melecet," katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk membanteras aktiviti penyeludupan kawasan sempadan negara.

Kejadian tembakan di Bukit Kayu Hitam itu adalah yang kedua membabitkan serangan ke atas anggota PGA selepas insiden membabitkan dua anggota pasukan itu berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah, terkena tembakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.