Oleh OMAR ZIN
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekiranya premis dinaiki air pada paras berbahaya supaya bekalan elektrik dapat dihentikan, terutamanya apabila dilanda banjir kilat atau musim tengkujuh pada penghujung tahun ini.
Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, penutupan bekalan elektrik itu adalah bersifat sementara bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin.
Malah, beliau juga menyarankan orang ramai supaya mematikan suis utama dan tidak menggunakan sebarang peralatan elektrik jika kediaman dinaiki air bagi mengelak risiko renjatan elektrik.
“Saya telah dimaklumkan bahawa apabila banjir surut dan keadaan kembali selamat, bekalan elektrik akan disambung semula oleh TNB.
“Nasihat dan panduan daripada pihak berkuasa sangat penting untuk kita patuhi. Malah amaran daripada Jabatan Meterologi Malaysia (MET) atau pihak lain penting dijadikan panduan di musim begini,” katanya dalam kenyataan.
Shamsul juga mengingatkan orang ramai supaya membersihkan dan memeriksa pendawaian dan peralatan elektrik yang ditelenggami air sebelum digunakan semula bagi memastikan ia benar-benar selamat.
“Ini termasuk membersihkan fius atau pemutus litar daripada kotoran dan menggantikannya sekiranya perlu. Soket alir keluar (outlet) yang ditelenggami air perlu berada dalam keadaan kering dan bersih sebelum digunakan.
“Dalam hal ini adalah lebih baik pengguna mendapatkan perkhidmatan juruelektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk pemeriksaan dan pengujian pendawaian dan peralatan elektrik yang ditelenggami air,” katanya.
Pada masa sama, Shamsul berkata pihak TNB dan Suruhanjaya Tenaga telah bersedia untuk menghadapi banjir dan musim tengkujuh meskipun negara masih berdepan dengan ancaman penularan wabak Covid 19.
“TNB memaklumkan bahawa mereka akan segera menggerakkan pasukan teknikalnya serta aset-aset berkaitan bagi menghadapi situasi banjir demi keselamatan dan keselesaan pengguna.
“Selain menjana elektrik, empangan-empangan besar milik TNB pula turut berfungsi sebagai empangan tambatan banjir yang sangat diperlukan terutamanya di musim hujan lebat bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.
“Persiapan sewajarnya juga telah dilaksanakan TNB di empangan-empangan hidro miliknya. Ini termasuk mengadakan latihan pengungsian (drill) bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan dan penduduk sekitar, selain menurunkan paras tasik (reservoir) ke tahap yang minimum sebagai persediaan menerima aliran masuk (inflow) air hujan yang tinggi,” katanya.
Shamsul turut meminta TNB meningkatkan tahap komunikasi dengan pelbagai agensi atau pihak berkaitan dalam mengurus disituasi banjir atau bencana lain bagi meningkatkan kesedaran dan menyediakan maklumat lengkap kepada pengguna atau rakyat.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi tindak-tanduk anak-anak agar tidak menghampiri pencawang dan tiang elektrik yang ditelenggami air supaya perkara tidak diingini dapat dielakkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.