SEREMBAN: Dipercayai akibat perselisihan faham,
seorang lelaki maut selepas ditikam oleh anak lelakinya sendiri dalam
kejadian di Kampung Simpang Pertang, Jelebu pagi tadi.
Ketua
Polis Daerah Jelebu DSP Maslan Udin berkata pihaknya menerima maklumat
tentang kejadian daripada orang awam yang menemukan mangsa terbaring
berlumuran darah berhampiran pintu rumah kira-kira 9:30 pagi.
“Berdasarkan
siasatan awal, berlaku pertengkaran mulut di antara suspek yang berusia
35 tahun itu dengan bapanya, 59 yang menegur suspek kerana terlalu leka
bermain telefon bimbit.
“Ketika bertengkar, mangsa juga memukul suspek dengan kerusi plastik menyebabkan suspek bertindak menikam mangsa pada bahagian depan dan belakang badan,” katanya ketika dihubung di sini.
Menurutnya suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal
sebelum berjaya ditahan polis kira-kira 20 minit selepas kejadian.
Maslan
berkata siasatan awal juga mendapati suspek tinggal dengan ibu bapanya
di rumah itu selain tidak bekerja susulan pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat.
Ketika kejadian, hanya suspek dan bapanya berada di rumah itu, katanya.
Maslan berkata pihaknya masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.