Umno Perak menafikan dakwaan ia berkomplot dengan parti pembangkang di negeri itu untuk merampas jawatan menteri besar yang disandang oleh timbalan presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata dakwaan itu hanya khabar angin yang tidak berasas dan sengaja digembar-gemburkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Tiada siapa jumpa saya, tiada siapa yang tawar (sokongan) kepada saya, tiada siapa yang menghasut saya. Tiada apa-apa yang berlaku," katanya dalam sidang media mengenai Geran Usahawan Perak (Gerup) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini.
Saarani, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, mengulas laporan sebuah portal tempatan hari ini yang mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan itu mempunyai cukup sokongan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.
Dalam laporan itu, Saarani dikatakan mendapat sokongan daripada empat Adun PKR, DAP dan PAS untuk dilantik sebagai menteri besar Perak yang baru.
Kerajaan negeri Perak yang ditadbir PN terdiri daripada 25 Adun BN yang kesemuanya Umno, Bersatu (5), PAS (3) sementara baki kerusi DUN dimiliki DAP (16), Amanah (5), PKR (3) serta Gerakan dan Bebas masing-masing satu.
Menjelas lanjut, Saarani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, berkata tiada sebarang konflik antara dirinya dengan Ahmad Faizal khususnya melibatkan hal pentadbiran di peringkat negeri.
"Sekarang tanggungjawab kita menumpukan perhatian dan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan sekarang ini adalah kerajaan yang akan membela nasib mereka," katanya.
Selain itu, beliau berkata fokus utama kerajaan negeri pada ketika ini juga adalah untuk mengekang penularan wabak Covid-19 sepertimana yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Kita menerima baik titah baginda supaya semua orang memberi perhatian kepada usaha untuk membasmi Covid-19 dan kurangkan berpolitik. Jadi, selaku rakyat kena akur dengan titah ini," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.