Khamis, 29 Oktober 2020

Jangan berdiam tatkala Islam dihina seperti tiada maruah

Aminuddin Yahaya

 Jika umat bersatu musuh akan terkesan dengan sangat dahsyat

BARU-baru ini, dunia dikejutkan dengan isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad ﷺ di mana sebuah karikartur baginda telah dilukis dan dipamerkan di tempat umum di Perancis. Perkara ini disokong dan dipertahankan oleh Presiden Perancis tatkala pelbagai pihak mengecamnya.

Beliau sendiri telah ‘menambah rencah’ dengan kenyataan-kenyataan Islamofobik yang mengundang kemarahan seluruh umat Islam di dunia. Akhirnya, wujudlah satu gerakan boikot global terhadap produk-produk buatan Perancis yang membuatkan negara itu rugi sangat besar dengan jangkaan berbillion dollar setiap hari. Berikutan dengan itu, Presiden Perancis dalam satu kenyataan merayu agar gerakan boikot ini dihentikan.

Bagi saya, ada dua pengajaran terbesar yang kita boleh ambil iktibar:

1. Para negara-negara Islam mampu bersatu padu dengan kuat atas dasar Islam, dan seluruh umat Islam akan turut bersama dan bersemangat dengan penuh bangga terhadap Islam. Lihatlah bagaimana pantasnya gerakan boikot ini berlaku dan tersebar.

2. Apabila umat Islam bersatu padu dan mengatur langkah, mereka yang memusuhi Islam akan terkesan dengan sangat dahsyat. Lihatlah bagaimana Perancis rugi berbillion dollar sehingga pemimpin negara itu terpaksa merayu-rayu, walaupun mereka antara kuasa ‘superpower’ dunia.

Dua pengajaran ini sudahpun juga terbukti di negara kita dalam pelbagai imbasan sejarah. Saya tidak mahu pergi jauh, lihat sahaja gerakan membantah ICERD dan cetusan gelombang BMF sahaja. Lihatlah bagaimana perpaduan antara kita mampu mengubah dan menguasai keadaan, sehingga berita-berita ini menggegar berita dunia dan menjadi inspirasi umat Islam di luar negara yang lain.

Kita juga tidak lupa apabila ada pihak cuba membuat normalisasi persendaan terhadap Rasulullah ﷺ secara sangat tersusun melalui gerakan maya (di Malaysia), seluruh umat Islam bangkit dengan sangat dahsyat. Inilah kekuatan kita; iaitu kesatuan, yang sebenarnya membuatkan kedaulatan Islam terus terpelihara dan dijunjung tinggi di negara kita.

Bayangkan jika umat Islam di negara kita menjadi apologetik, berpeluk tubuh dan lemah longlai apabila dicabar, dihina dan dipersenda. Kita pasti akan dipijak-pijak. Dan pastinya akan sampai satu tahap, jangankan bangsa Melayu, tetapi Rasulullah ﷺ akan dihina dan dipersenda dengan begitu dahsyat sehingga menjadi bahan jenaka yang normal dalam masyarakat. Cuba bayangkan betapa hinanya jika kita berpeluk tubuh.

Oleh itu, perasaan marah tatkala Rasulullah ﷺ dan agama Islam dipersenda itu adalah refleksi kepada sensitiviti kita terhadap agama kita. Sudah pasti, perasaan ini perlu dibatasi dengan syarak dan lunas undang-undang; di mana sesuai boikot maka kita boikot, di mana sesuai kita lapor polis maka kita lapor polis, di mana sesuai kita berhimpun maka kita berhimpun dan sebagainya.

Oleh itu, jangan duduk diam tatkala agama kita dihina seperti tiada maruah. Atau lebih teruk, sampai jadi talibarut atau benteng mereka yang menghina itu.

Sesungguhnya mempertahankan agama Allah daripada dihina dan dipersenda adalah apa yang telah dilakukan olah para sahabat, malah Rasulullah ﷺ sendiri dipertahankan bermati-matian oleh para sahabat tatkala dicerca, dihina dan dipersenda, apatah lagi diserang. Itulah manifestasi betapa cintanya sahabat kepada Rasulullah ﷺ. Tidakkah kita ingin mencontohi para sahabat?

Oleh itu, saya ingin mengucapkan Salam Maulidur Rasul kepada semua umat Islam, terutamanya di Malaysia. Saya doakan agar Rasulullah ﷺ sentiasa di ingatan kita dan kita sentiasa mengucapkan selawat terhadap baginda. Insya-Allah.

(*) Aminuddin Yahaya - Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.