Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT
KLUANG : Seorang pengikut kumpulan ceti haram terpaksa meringkuk di penjara selama 14 bulan setelah gagal membayar denda RM8,000 atas dua pertuduhan melakukan khianat dan memiliki video serta gambar lucah yang ditetapkan Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Sew Yee Fui, 26, dikenakan hukuman denda tersebut setelah mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Majistret ND Arun.
Mahkamah menetapkan hukuman denda RM6,000 atau gagal bayar penjara 10 bulan bagi kesalahan khianat manakala RM2,000 atau empat bulan penjara pula untuk pertuduhan memiliki video dan gambar lucah.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, Yee Fui didakwa melakukan khianat dengan menyimbah satu tin cat merah ke atas sebuah rumah di Taman Gunung Lambak di sini pada pukul 1.38 petang, 21 Oktober lalu.
Pendakwaan kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati memiliki empat video lucah bersama satu gambar lucah pelbagai tajuk di Jalan Kluang ke Kota Tinggi pukul 4.07 petang pada tarikh sama dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 292 Kanun (a) Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Zahida Muhammad Ruzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.