Bernama
Tun
Abdul Rahman (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul
kepada Datuk Abdul Rahman (kanan) pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat
Negeri Pulau Pinang Tahun 1442H/2020M malam tadi. --foto BERNAMA
KUALA LUMPUR:
Walaupun diuji dengan pandemik COVID-19, kemeriahan Maulidur Rasul
tetap dirasai sungguhpun disambut secara sederhana dan mematuhi prosedur
operasi standard dalam suasana norma baharu.
Di
Sarawak, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud merasmikan Taman
Islam Darul Hana di Jalan Tun Salahuddin di sini malam tadi sempena
majlis sambutan peringkat negeri untuk memperingati keputeraan junjungan
besar Nabi Muhammad SAW itu.
Majlis
perasmian itu turut dihadiri isteri Abdul Taib, Toh Puan Ragad Kurdi
Taib, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan
barisan kenamaan negeri.
Sebelum itu
Abdul Taib bersama-sama kenamaan lain menghadiri majlis kesyukuran
sempena sambutan itu di Masjid Darul Hana yang menjadi sebahagian
daripada Taman Islam berkenaan yang siap dibina baru-baru ini dengan kos
RM8.6 juta.
Di
Perak, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di Masjid Sultan Azlan
Shah di Ipoh dihadiri kira-kira 450 orang termasuk Menteri Besar Perak
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Majlis
sambutan anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu dimulakan dengan
bacaan ayat-ayat suci al-Quran diikuti pelancaran Buku Modul Remaja
Al-Ridzuan yang menyasarkan penyemaian dan pembinaan generasi muda hari
ini mendekatkan diri dengan masjid.
Ahmad
Faizal turut menyampaikan cenderahati kepada petugas barisan hadapan
yang menentang penularan COVID-19 sebelum menunaikan solat Maghrib
berjemaah dan berselawat beramai-ramai ke atas Nabi Muhammad SAW.
Ceramah
Maulidur Rasul disampaikan Timbalan Mufti Negeri Perak Datuk Zamri
Hashim sebelum solat Isyak berjemaah dan diikuti majlis jamuan makan.
Sementara
di Pulau Pinang, seorang pesara guru Datuk Abdul Rahman Yob dinobatkan
sebagai Tokoh Maulidur Rasul 1442 Hijrah peringkat negeri.
Anugerah
disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman
Abbas yang juga merasmikan peringkat negeri itu di Masjid Negeri Pulau
Pinang dekat George Town, di sini.
Abdul
Rahman yang juga merupakan bekas pesakit kanser usus menerima hadiah
berupa wang tunai sebanyak RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan negeri Datuk Abdul Halim Hussain.
Kira-kira
200 orang jemaah masjid turut serta dalam majlis itu yang disambut
secara sederhana sebagai langkah pematuhan prosedur operasi standard
(SOP) bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.
--BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.