Isnin, 26 Oktober 2020

Keputusan Agong bukti jelas Raja Berperlembagaan bukan dekorasi

 Athirah Huda Zalhe

Titah supaya Bajet 2021 diluluskan perlu diberi perhatian oleh Ahli Parlimen

BANGI – Fungsi Yang di-Pertuan Agong menyemak dan mengimbangi ketidakstabilan pemerintahan negara, memberi isyarat jelas konsep Raja Berperlembagaan bukan dekorasi atau retorik semata-mata.

Ini kerana keputusan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak nasihat Perdana Menteri berkaitan pengisytiharan darurat adalah kali pertama berlaku dalam sejarah negara.

Al-Sultan Abdullah menitahkan, tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan, selepas permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diperhalusi bersama rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar hari ini menggesa semua ahli politik supaya menjunjung titah Seri Paduka dengan mengetepikan perbezaan politik.

“Desakan supaya Perdana Menteri meletak jawatan tidak selari dengan titah baginda yang mahukan tumpuan diberikan kepada melawan pandemik COVID-19 dan memastikan kesejahteraan rakyat dengan bepolitik dengan matang dan bertanggungjawab.

“Begitu juga titah baginda agar pembentangan Bajet 2021 dapat dilakukan dan diluluskan juga perlu diberi perhatian oleh semua Ahli Parlimen,” katanya.

Datuk Zainul Rijal berpendapat, Perdana Menteri tidak kalah semua, tetapi tidak juga mendapat apa yang dimahukan.

“Kemelut politik ini bukan semata-mata kerana terdapat golongan yang mahu merebut kuasa, ia juga hasil kegagalan menguruskan kuasa itu sendiri.

“Hal ini bukan sahaja berlaku di dalam Perikatan Nasional, tetapi juga dalam Pakatan Harapan dahulu. Malah Barisan Nasional juga menghadapi masalah yang sama,” katanya.

Mengulas mengenai konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, Datuk Zainul Rijal berkata, perkara berkenaan tidak disebut secara spesifik, tetapi hal ehwal mengenai kedua-duanya dihurai panjang di dalam Perlembagan Persekutuan.

“Sebenarnya sistem perundangan di Malaysia mempuyai kaedah semak dan seimbang melalui pembahagian kuasa.

“Pembahagian kuasa antara pihak eksekutif, legislatif dan kehakiman sangat penting untuk dilaksanakan dan tidak dicampur-adukkan.

“Di Malaysia pula, di atas ketiga-tiga agensi pemegang kuasa tersebut, Raja-Raja memainkan kuasa untuk semak dan seimbang ketiga-tiga cabang tersebut,” katanya.

Meneliti Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata, perkembangan terbaharu ini sekali gus mengajak ahli akademik, peguam dan mahkamah membaca serta mentafsir semula ramifikasi perundangan di bawah peruntukan berkenaan.

“… sejauh mana nasihat perdana menteri mengikat Yang di-Pertuan Agong dan apakah perkataan ‘nasihat’ itu perlu ditafsirkan atau diberi makna harfiahnya.

“Hal ini hanya boleh diputuskan dengan tuntas jika ia dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk pertimbangan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.