Krisis politik berterusan boleh cetus suasana lebih buruk
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Othman
BANGI – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memutuskan tiada keperluan untuk negara mengisytiharkan darurat bagi memerangi COVID-19.
Menyifatkan keputusan Al-Sultan Abdullah sebagai bijak, adil dan prihatin terhadap nasib rakyat, Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan yakin rakyat boleh menarik nafas lega kerana masih mempunyai ruang meneruskan kelangsungan hidup.
Katanya, PPIM juga mengikuti secara teliti akan perkembangan politik yang semakin tidak menentu dan amat bimbang jika berterusan, akan mencetuskan suasana yang lebih buruk dan tidak berkesudahan.
“Lebih mengancam ketenteraman rakyat jika keadaan ini akan menyebabkan pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum perlu diadakan dalam keadaan hiruk pikuk wabak bahaya ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tidak mahu perkara sama berulang sebagaimana selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Nadzim bersetuju dengan teguran Al-Sultan Abdullah supaya ahli-ahli politik menghentikan ‘politicking’, perbalahan serta perbezaan pendapat yang menggugat kestabilan pemerintahan negara.
Beliau berkata, dalam keadaan negara diancam COVID-19, semua pihak sepatutnya berganding bahu dan mengetepikan perbezaan serta menumpukan seluruh tenaga dan kepakaran untuk memerangi pandemik itu.
“Kami juga dengan penuh harapan agar titah Seri Paduka Baginda mengenai pembentangan Belanjawan Negara 2021 yang amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara ini dijunjung perintah oleh semua pihak.
“Kami mempunyai keyakinan yang penuh akan kemampuan barisan hadapan kita dalam memerangi wabak ini.
“Sama-samalaah berdoa agar negara dapat keluar dari gejala ini dengan baik dan meraih pengalaman yang baru dalam berdepan sebarang kemungkinan gejala di masa akan datang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.