on
PETALING
JAYA: Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) Selangor berkata,
kenyataan Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat menghalang wakil rakyatnya
menyokong kumpulan Anwar Ibrahim adalah isyarat bagi memaksa pilihan
raya umum ke-15 diadakan secepat mungkin.
Ketua
Penerangan BN Selangor Isham Jalil berkata, kenyataan itu tidak
bermakna presiden Umno itu menyokong pembentukan kerajaan oleh Anwar
sebagai perdana menteri.
“Keputusan presiden
Umno semalam adalah suatu langkah yang bijak dan betul ke arah
pembubaran Parlimen dan pilihan raya baru secepat mungkin untuk
mengakhiri ‘impasse’ dan ketidakstabilan politik dan ekonomi yang kita
hadapi sekarang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau
mengulas kenyataan Zahid semalam bahawa partinya tidak dapat menghalang
ahli Parlimennya menyokong Anwar yang mendakwa mempunyai cukup sokongan
untuk membentuk kerajaan baru.
Isham berkata, kalau pun benar dakwaan Anwar
mempunyai sokongan majoriti wakil rakyat, namun ia tidak akan
menyelesaikan masalah kerana ahli Parlimen yang sama yang menyokong
presiden PKR itu boleh menarik balik sokongan dan kerajaan akan jatuh
sekali lagi.
“Enam bulan lepas, Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin juga mengumumkan yang beliau mempunyai cukup sokongan
ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan, lalu kerajaan bertukar tangan.
“Jika
Anwar Ibrahim berjaya mengumpul cukup ahli Parlimen kali ini, maka
kerajaan akan jatuh dan bertukar lagi dan dia (Anwar) pula mahu jadi
perdana menteri.
“Dan 6 bulan akan datang
apabila seorang lagi pemimpin yang bercita-cita menjadi perdana menteri
memujuk ahli Parlimen untuk berubah fikiran, maka kerajaan akan bertukar
tangan sekali lagi tidak melalui pilihan raya.
“Mungkin selepas ini Shafie Apdal, Mukhriz
Mahathir atau Dr Mahathir Mohamad sekali lagi tunggu giliran untuk jadi
perdana menteri dengan cara ini,” katanya.
Beliau
berkata, pengumuman Anwar semalam adalah simptom yang menunjukkan
kerajaan hari ini tidak stabil dan boleh jatuh pada bila-bila masa.
“Selagi ini berlaku, maka kerajaan mungkin akan bertukar tangan setiap 6 bulan dan ketidakstabilan politik akan berterusan.
“Sesiapa
pun yang jadi kerajaan dalam situasi ini tidak akan dapat menumpukan
perhatian kepada usaha pemulihan ekonomi dan akan memburukkan lagi
keadaan hidup rakyat.
“Sebab itu dari dahulu
saya mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan untuk menyerahkan semula
mandat kepada rakyat melalui pilihan raya supaya kerajaan baru yang
lebih stabil dapat dibentuk,” katanya.
Beliau berkata, jika keputusan pilihan raya
tetap sama, iaitu kedudukan 50-50, maka rakyat akan berpuas hati kerana
mereka telah membuat pilihan.
Semalam Anwar
mengumumkan mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan”
daripada ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baru.
Pengumuman
Anwar itu bagaimanapun ditolak oleh pemimpin parti yang menyokong
kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin, termasuk
BN,PAS, PPBM, GPS, Star dan PBS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.