Jangan gentar suara pelampau cabul ketelusan Perlembagaan negara
BANGI – Para menteri dan ahli politik diingatkan untuk tidak berdiam diri dengan kehadiran tanda pagar #tetapbangga yang tular di media sosial ketika ini kerana didakwa mengangkat golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ahli Mahasiswa BERJASA (WIBAWA), Ain Shahadon berkata, pemimpin berkenaan perlu menggunakan kuasa yang dimiliki untuk mengimplimentasi dasar-dasar negara dengan telus.
“Jangan gentar dengan suara pelampau hak kebebasan kerana perkara ini jelas mencabul ketelusan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Di laman sosial Twitter, tanda pagar #tetapbangga ditentang oleh netizen dengan menggunakan hashtag baharu iaitu #tetapnormal.
Mengulas lanjut, Ain berkata, #tetapbangga yang trending itu menjadi bukti bahawa penyakit tiru gaya barat dalam masyarakat sedang membarah.
Beliau secara sinis berkata, ‘ubat’ perlu diberikan segera supaya barah berkenaan tidak terus merebak dan mungkin boleh dihentikan seratus peratus.
“Di dalam al-Quran turut dijelaskan kesan daripada perbuatan songsang yang turut dilakukan oleh kaum Nabi Lut A.S. Janganlah kita mengundang lebih masalah di dalam negara ini dengan membiarkan pengaruh-pengaruh barat terus merebak.
“Watan ini mempunyai prinsip budaya ketimuran yang dikekalkan. Watan ini mempunyai dasar-dasar negara yang lengkap dijalankan. Watan ini mempunyai kehormatan yang perlu didaulatkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.