KOTA KINABALU: Sejurus pusat mengundi dibuka jam 7.30 pagi, orang ramai mengundi di saluran disediakan seperti dewan sekolah dan dewan masyarakat sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
Seawal 7 pagi lagi, rata-rata pengundi mula beratur dan menunggu giliran di pusat pengundian dengan lengkap memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal, selain kelihatan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan saringan suhu badan dan menyediakan pensanitasi tangan.
Di beberapa tempat, turut kelihatan, petugas SPR memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bagi membawa warga emas yang berkerusi roda dari awal hingga selesai pengundian dalam keadaan cuaca yang baik dan cerah.
Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal, yang juga calon Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang dan isteri Shuryani Shuaib tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul, Semporna, kira-kira jam 8 pagi untuk mengundi.
Berkongsi di Twitter, ahli Parlimen Beluran, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee juga dilihat paling awal beratur untuk mengundi bagi kerusi DUN Labuk di SK Pekan, Beluran.
Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi DUN pada jam 7.30 pagi ini bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baru pada pilihan raya negeri (PRN) ke-16.
Proses pengundian melibatkan kira-kira sejuta pengundi biasa akan
dikendalikan oleh 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi
tamat pada jam 5 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.