Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengumumkan dia mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan baru.
Bagaimanapun, jalan tidak semudah itu buat Anwar. Pelbagai kemungkinan masih boleh berlaku.
Berikut kemungkinan-kemungkinannya:
(1) Muhyiddin dapatkan kembali sokongan, kekal jadi PM
Jika dakwaan Ahmad Zahid Hamidi bahawa ramai anggota parlimen BN dan Umno kini menyokong Anwar ternyata benar, bermakna Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti.
Muhyiddin, bersandarkan pengundian bagi menggantikan speaker Dewan Rakyat pada 14 Julai lalu, mempunyai sokongan 113 anggota parlimen sahaja.
Bagaimanapun, sementara Anwar menunggu peluang untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Muhyiddin masih mempunyai peluang mendapatkan kembali sokongan yang dikatakan hilang itu.
Muhyiddin masih mempunyai kelebihan sebagai pemimpin nombor satu negara.
Dia juga boleh membuktikan majoritinya melalui undi percaya di parlimen.
Ini kerana kenyataan bersama beberapa setiausaha agung parti yang menyokongnya semalam tidak benar-benar membuktikan dukungan diterimanya daripada anggota parlimen.
Parlimen akan bersidang pada 2 November depan.
(2) Muhyiddin bubar parlimen
Jika gagal mendapatkan kembali sokongannya, Muhyiddin masih boleh menasihati Seri Paduka untuk membubarkan parlimen, sekali gus membawa kepada pilihan raya umum.
Bagaimanapun ini dilihat sebagai langkah terakhir kerana ia tidak semestinya memberi kelebihan kepada Bersatu yang dipimpinnya.
Setakat ini masih tiada jaminan Umno dan PAS akan akan bersama dengannya.
Sebagai parti baru, kekuatan akar umbi Bersatu juga dilihat masih belum setanding dengan Umno, PAS atau jentera Pakatan Harapan pimpinan Anwar.
Jika Seri Paduka berkenan menerima nasihat pembubaran Parlimen, ia mungkin berlaku tidak lama selepas pilihan raya Sabah.
Dan Muhyiddin pula akan mencatat sejarah sebagai perdana menteri paling singkat memerintah negara ini.
(3) Agong benarkan Anwar buktikan majoritinya
Sementara itu, Agong mungkin menerima mengadap Anwar atau mana-mana pihak yang boleh membuktikan mereka cukup sokongan untuk membentuk kerajaan baru.
Baginda untuk mewawancara seorang demi seorang seperti yang berlaku sebelum ini sebelum melantik seorang perdana menteri baru.
Jika Anwar berjaya membuktikan sokongan diterimanya, anggota parlimen Port Dickson itu akhirnya akan menamatkan gelaran “bakal perdana menteri” yang disandangnya sejak sekian lama.
Paling menarik dia akan menjadi perdana menteri ketiga berkhidmat untuk tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.