MUAR: “Insya-Allah, kita doakan sebelum pilihan raya.”
Demikian jawapan ringkas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika ditanya mengenai jodohnya.
Bagaimanapun, bekas Menteri Belia dan Sukan itu masih berteka-teki calon isterinya.
“Kita doakan sebelum pilihan raya, itu sahaja saya boleh cakap,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq mendedahkan beliau pernah berjumpa dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dua kali selain turut menghantar mesej selepas kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu.
Beliau menjelaskan, pertemuan itu menyentuh mengenai perbincangan peruntukan kepada Parlimen Muar yang ditarik dan usaha menyelamatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
“Saya tak nak kerana politik, jambatan silaturahim terkubur terus. Lagi satu saya sebagai anak muda, masih terhutang budi kepada Tan Sri.
“Ya, saya tidak bersetuju dengan apa yang berlaku tetapi sebagai anak muda, saya tidak boleh sombong, tidak boleh angkuh, tidak boleh saya kata sentiasa betul, kadang kala saya pun salah. Tetapi perbezaan politik itu perlu diraikan,” katanya.
Tanpa memperincikan tarikh pertemuan itu, Syed Saddiq berkata, ketika itu beliau masih ahli Bersatu dan Ketua Armada dan sedang mencari jalan terbaik untuk menyelamatkan parti.
“Komunikasi (dengan Muhyiddin) sentiasa ada, saya hendak kekalkan (silaturahim) sampai bila-bila,” katanya.
Pada 28 Mei lalu, keahlian lima pemimpin Bersatu termasuk Syed Saddiq terhenti serta-merta kerana melanggar perlembagaan parti.
Empat yang lain ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.