Kerajaan hari ini bersetuju secara dasar untuk mengetatkan semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil susulan kebimbangan peningkatan kes COVID-19 di negara ini dalam tempoh hampir seminggu ini.
"Secara dasarnya keputusan ini dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP hari ini.
"Jawatankuasa teknikal akan berbincang esok untuk memperincikan SOP dan akan dibentangkan pada mesyuarat menteri-menteri Isnin ini," katanya pada sidang media perkembangan PKPP di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya SOP untuk Hari Raya Aidiladha yang akan disambut 31 Julai ini juga akan dimuktamadkan dan diumumkan Isnin ini.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata susulan beberapa kluster baharu dikesan membabitkan kru kapal, SOP berkaitan kumpulan terbabit akan turut diteliti.
“Polis akan memantau pematuhan SOP ketika sambutan Aidiladha sama seperti pada Aidilfitri lepas. Jika berlaku pelanggaran SOP, tangkapan dan tindakan dibuat terus di lapangan,” katanya.
Mengenai keperluan melaksanakan PKP Diperketatkan di Sarawak berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negeri itu, Ismail Sabri berkata kerajaan negeri akan membincangkan perkara tersebut dalam sehari dua ini.
“… keputusan (mesyuarat) akan dimaklumkan kepada pihak kerajaan (Persekutuan), (hasil mesyuarat) kita akan wartakan dalam Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).
"… kerajaan Sarawak mungkin akan perkenalkan SOP yang lebih ketat, Insya-Allah akan umum Isnin nanti,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.