Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, sehingga kini ia melibatkan 56 makmal di seluruh negara, berbanding 53 makmal sebelum ini.
Katanya, ujian dan saringan bagi mengesan individu yang bergejala dan tidak bergejala merupakan elemen terpenting, dalam memastikan penularan wabak tersebut dapat dihentikan.
“Data yang kita ada hari ini, setakat ini kita dapat uji hampir sejuta individu di negara ini yang disaring, diambil swab dan dihantar untuk di uji di makmal-makmal yang kita ada di negara kita.
“Kita boleh saring 37,000 kes sehari dengan 56 makmal yang bersedia untuk menguji COVID-19 dan sekiranya kita dapat menguji seramai yang boleh, itu yang terbaik,” katanya pada sesi Bicara Dewan Muda Johor – ‘Untold Story: Di Sebalik Pandemik Covid-19’, yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Dewan Muda Johor, Johor Bharu, hari ini.
Dr Adham berkata Malaysia antara negara yang mampu melakukan ujian dengan kadar tinggi, berbanding negara lain yang terjejas akibat Covid-19.
“Apa yang boleh kita bandingkan dengan negara luar ialah Malaysia menguji untuk setiap 1,000 populasi 28 ujian kita buat, manakala di Korea Selatan, 26 ujian untuk setiap 1,000 populasi, empat ujian untuk setiap 1,000 populasi di Jepun, di Vietnam dua ujian untuk 1,000 populasi, cuma di Singapura, 79 ujian bagi 1,000 populasi.
“Jadi ujian dan saringan untuk COVID-19 ini adalah elemen penting, untuk pastikan bahawa kita dapat mengesan, mengekang, menghalang dan membendung lebih awal penularan, pada peringkat awal sekali gus kita dapat meyakinkan rakyat bahawa kita dapat mengawal penyakit ini,” katanya.
Sementara itu Dr Adham berkata, ujian saringan yang dilakukan dengan pantas dan memperbanyakkan makmal ujian, adalah antara faktor Malaysia berjaya merendahkan jumlah jangkitan dalam kalangan masyarakat.
“Pegawai kementerian akan turun ke lapangan segera bagi membuat saringan, apabila kes jangkitan dikenal pasti dan selepas itu, individu disyaki dijangkiti akan segera diasingkan dengan siasatan kontak rapat dijalankan serta-merta.
“Sekiranya individu dalam pemantauan (PUI) didapati positif, mereka akan kekal diasingkan dan kontak rapat juga akan disaring manakala individu di bawah pengawasan (PUS), juga akan diasingkan sehinggalah 14 hari sebelum dilepaskan jika disahkan negatif,” katanya.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.