MARANG: Selepas menunggu hampir 18 tahun akhirnya
seramai 134 penduduk di sini menerima surat hak milik tanah dan notis
Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan Gong Cempedak Mukim
Pulau Kerengga.
Jumlah tersebut membabitkan 84 penerima hak milik tanah dan 50 penerima Borang 5A RTB Gong Cempedak.
Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penyerahan surat hak milik itu akhirnya menjadi kenyataan selepas sekian lama penduduk menunggu.
Katanya tanah berkelompok tersebut sudah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2002.
“Selepas tertangguh hampir 18 tahun lamanya hari ini proses penyerahan hak milik RTB menjadi kenyataan.
“Hari yang bersejarah ini kita berjaya merealisasikan janji dan manifesto kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi mengembalikan tanah-tanah terkilan,” ujarnya pada majlis penyampaian Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis Borang 5A RTB Terkilan, Gong Cempedak di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM) semalam.
Hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Ustaz Mohd Nor Hamzah dan ADUN Pengkalan Berangan Sulaiman Sulong.- HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.