Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng meninggalkan ibu pejabat SPRM selepas lebih tujuh jam tiba disoal siasat mengenai projek terowong bawah laut Pulau Pinang.
Lim ditemani oleh peguam RSN Rayer ketika dia berjalan keluar dari bangunan menuju kenderaan sebelum meninggalkan kawasan bangunan SPRM.
Kedua-dua mereka tidak berhenti untuk menjawab soalan media yang menunggu di pintu masuk.
SPRM memaklumkan bahawa Lim akan hadir sekali lagi esok.
Lim yang juga setiausaha agung DAP tiba di ibu pejabat SPRM hari ini untuk disoal siasat sekitar jam 12:30 tengah hari tadi.
Kali terakhir beliau hadir memberi kenyataan dalam kes yang sama adalah tiga hari yang lalu dan disoal siasat selama enam jam.
Selain Lim, SPRM sebelum ini menyoal Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan bekas anggota dewan negara, Dr Afif Bahardin sebagai sebahagian daripada siasatan kes sama.
Awal bulan ini, pegawai SPRM juga mengunjungi pejabat dua exco Pulau Pinang.
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew ditahan pada 1 Julai lalu dan direman selama empat hari untuk membantu siasatan.
Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan RM100,000.
SPRM mula mula menyiasat tuduhan rasuah dalam projek terowong bawah laut itu pada Mac 2019.
Awal minggu ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan mengatakan siasatan di peringkat akhir.
Pemblog Raja Petra Kamarudin sebelum ini menerbitkan apa yang didakwanya merupakan kertas siasatan SPRM yang dibocorkan, yang melibatkan pemimpin DAP kerana didakwa menerima sogokan dari kontraktor projek Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC).
Lim menjawab bahawa CZC telah memenangi projek tersebut melalui tender terbuka, dan menolak tuduhan rasuah.
Merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), projek terowong bawah laut itu melibatkan pembinaan terowong sejauh 7.2km yang menghubungkan George Town di Pulau Pinang dengan Butterworth di tanah besar.
Projek itu juga merangkumi dua jalan yang menghubungkan Gurney Drive dan Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, dan satu lagi jalan berkembar yang menghubungkan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.