ALOR SETAR: Pendapatan kasar kira-kira RM60,000 sebulan.
Itu dipercayai anggaran hasil jualan air ketum seorang petani yang menjadikan rumahnya di sebuah kampung di Kuala Kedah dekat sini sebagai pusat memproses ketum sejak tiga tahun lalu.
Kegiatannya terbongkar apabila sepasukan polis Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar yang melakukan risikan sejak beberapa minggu lalu melakukan serbuan lewat petang Sabtu.
Ketika serbuan dilakukan, lelaki berusia 44 tahun itu baru sahaja selesai membungkus air ketum yang telah siap diproses.
Wakil Astro AWANI yang turut menyertai operasi berkenaan difahamkan, lelaki itu menjual kira-kira 1,000 bungkus air ketum sehari pada harga antara RM2 hingga RM3 sebungkus.
Suspek turut mengaku memperoleh pendapatan lebih RM2,000 setiap hari dan hasil lumayan itu menyebabkannya meneruskan perniagaan berkenaan walaupun menyedari ia salah di sisi undang-undang.
Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang bertindak sebagai tukang masak air ketum.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata lokasi pusat pemprosesan haram itu turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi kehadiran orang luar terutama pihak berkuasa.
Katanya, dalam operasi itu, anggota polis terpaksa menyamar sebagai pembeli air ketum sebelum serbuan dilakukan.
“Polis berjaya merampas lebih 1,000 bungkus air ketum yang telah siap diproses dan sedia untuk dijual,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan menjalankan operasi berterusan dari semasa ke semasa terutama di kawasan Kuala Kedah yang dikategorikan sebagai kawasan rintis.
“Kawasan rintis ini maksudnya ia adalah kawasan yang banyak kes berkaitan dadah termasuk ketum, jadi kita ambil pendekatan untuk memulihkan kawasan tersebut,” katanya. Awani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.