RAMAI sebenarnya terkejut bila dua orang kuat UMNO, ahli parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan mencanangkan cadangan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin masuk semula UMNO.
Daripada mana mereka berdua dapat idea begini? Belang tak pasti. Kalau tidak mahu hormati penyandang jawatan sedia ada, presiden UMNO itu hal peribadi kedua-duanyalah.
Tapi sekurang-kurangnya respeklah ahli-ahli akar umbi UMNO ini yang keseluruhannya berjumlah 3,292,667 orang (dibaca 3.3 juta ahli) di 22,156 cawangan di seluruh negara.
Apa, Nazri dan Tok Mat ingat jawatan presiden UMNO macam beli barang, ikan sayur di pasar?
Bukankah UMNO ini ada adab tatasusilanya? Bukankah untuk ditempatkan ke jawatan utama UMNO itu perlu sokongan ahli-ahli UMNO di seluruh pelosok negara?
Untuk duduk di kerusi presiden hari ini bukan mudah ya. Sebelum ini lebih kurang tiga dekad lepas, seseorang yang mahu bertanding presiden disyaratkan terlebih dahulu mendapat kuota sokongan 57 daripada 191 bahagian (30%).
Dengan pemansuhan sistem kuota, ia sekali gus membuka ruang kepada ahli untuk bertanding dengan syarat minimum pernah memegang jawatan ahli Majlis Tertinggi atau ahli jawatankuasa (AJK) bahagian selama satu penggal.
Mahu diakui atau tidak, di bawah tadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden, lantai demokrasi UMNO terbuka meluas.
Berbanding hanya sekumpulan orang iaitu 2,500 perwakilan untuk menentukan pucuk kepimpinan parti sebelum ini, pemilihan UMNO semasa Najib dipilih selaku presiden ditambah menjadi 146,500 – pemilihan bermula di peringkat cawangan terlebih dahulu.
Begitu juga halnya semasa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terpilih sebagai presiden pada Jun 2018. Beliau serta dua pesaingnya, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin perlu bersaing hebat untuk mendapatkan mandat sokongan ahli akar umbi.
Akar umbinya pula bukan orang biasa-biasa. Mereka ahli tulen UMNO. Demografi perwakilan terdiri turut bersegmenkan guru Kemas, guru sekolah, penjawat awam dan kontraktor.
Tumpuan perwakilan pula pada Jun 2018 itu (hanya sebulan selepas UMNO tersungkur dalam sejarah kira-kira 70 tahunnya pada PRU-14) lebih terarah kepada sejauh manakah kemampuan tiga calon presiden itu mampu meyakinkan mereka untuk membina semula kekuatan, menyatukan kembali perpecahan dan menawan hati rakyat untuk terus menyokong perjuangan UMNO.
Dan akhirnya Ahmad Zahid meraih kepercayaan akar umbi.
Nazri dan Tok Mat harus ingat, untuk mendapat tempat sebagai presiden UMNO, bukan seumpama meletak orang luar yang tidak ketahuan di kerusi nombor satu tersebut.
Dengan Parti Bersatu sendiri tidak mempunyai akar umbi, apatah lagi diakui sendiri oleh Ku Li bahawa Muhyiddin `berkebetulan’ menjadi Perdana Menteri setelah partinya Bersatu dan induknya, Pakatan Harapan dalam keadaan cacarmarba, sewajarnya Nazri dan Tok Mat tidak mengutarakan cadangan yang `menikam dari belakang’ akar umbi UMNO.
Ya, bukan mudah untuk menempatkan diri sebagai presiden UMNO. Tidak sewenangnya masuk melalui `tingkap’, bukan ikut platform sebenar – masuk rumah melalu pintu.
Sedangkan UMNO pernah diharamkan akibat perebutan jawatan presiden pada 1987, inikan semudah itu orang luar masuk, terus didudukkan sebagai presiden UMNO.
Laluilah pendemokrasian dalam UMNO dahulu. Hormatilah akar umbi.
Nazri, Tok Mat…jangan anda berdua memandai-mandai ya – `tikam parti’ dari belakang.-SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.