KUALA LUMPUR – Para pelanggan domestik (kediaman) Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan dapat melihat perincian manfaat Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) yang diterima bagi bulan April, Mei dan Jun, dalam Penyata Terperinci yang akan dikeluarkan pada bulan Julai.
Penyata Terperinci tersebut akan diterima pelanggan bersama bil bulan Julai dalam masa tujuh hari melalui pos selepas pembacaan meter dibuat.
Mereka juga boleh melihat Penyata Terperinci dan bil tersebut melalui laman web dan aplikasi myTNB selepas 48 jam menerima Notis Makluman, kata TNB.
Menurutnya, pembaca meter TNB akan melakukan bacaan bulan Julai di premis pelanggan mulai 3 Julai 2020 dan pelanggan akan diberi Notis Makluman bahawa pembacaan telah dilakukan.
Pada 20 Jun lalu, kerajaan bersama TNB mengumumkan pemberian BPE sebagai pakej bantuan tambahan kepada semua 7.66 juta pelanggan domestik melalui pembiayaan penggunaan elektrik percuma sehingga RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu April, Mei dan Jun 2020.
Bantuan ini akan dinyatakan dalam bil bacaan sebenar.
Di samping itu, pengguna domestik yang menggunakan elektrik antara 601 – 900 kWj sebulan akan menikmati diskaun sebanyak 10% iaitu tambahan 8% daripada kadar diskaun sedia ada sebanyak 2% bermula bulan April 2020 hingga September 2020. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.