Khamis, 2 Julai 2020

EKSKLUSIF: Kenny… ‘wira tak didendang’ tumpaskan Botak Chin!

Syahril A. Kadir
MGF25062020_OWGMG-DSPB-KENNY17-681x454
DSP (B) Kenny Woodworth. foto HAZROL ZAINAL

USIANYA sudah melewati 87 tahun.

Ketika kami tiba di sebuah rumah penjagaan warga tua persendirian di pinggir ibu kota beberapa hari lalu, lelaki tua ini sedang berehat setelah mengambil ubat akibat penyakit buah pinggang yang dihidapinya sejak sekian lama.

Selepas kematian isteri yang sangat dicintainya, Joan Sylvia Maureen tiga tahun lalu, lelaki ini mengambil keputusan untuk keluar daripada kediaman mereka di Cheras dan tinggal di rumah orang tua-tua itu bagi menghabiskan sisa-sisa usianya.

Ini kerana tiada lagi tempat untuk dia bergantung harap dan berkongsi kasih sayang, apatah lagi perkahwinan yang mereka dirikan pada tahun 1956 itu tidak dikurniakan cahaya mata.

MGF25062020_OWGMG-DSPB-KENNY25-1024x683
DSP (B) Kenny Woodworth melihat gambar mendiang isterinya,
Joan Sylvia Maureen Webb di Petaling Jaya, Selangor. foto
HAZROL ZAINAL

“Terima kasih kerana datang menjenguk saya di sini,” kata Kenny Woodworth, bekas pegawai polis yang bersara daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1988 dengan pangkat Deputi Supritendan (DSP) ini.

Sekali imbas, tiada apa yang istimewa dengan Kenny.

Namanya tidak pernah tersenarai sebagai penerima anugerah yang membawa gelaran kehormatan. Namanya juga tidak pernah tercatat sebagai antara penerima pingat keberanian negara.

Namun di sebalik semua itu, tak ramai yang tahu Kenny adalah di antara 12 pegawai polis Cawangan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur yang dipilih khas untuk menganggotai sebuah kumpulan yang dinamakan ‘Magnificient 12’ – khusus untuk memburu penjenayah terkenal suatu ketika dulu, Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin!

BOTAK CHIN

MGF25062020_OWGMG-DSPB-KENNY11-1024x683
Gambar wajah Wong Swee Chin atau lebih dikenali Botak
Chin yang disimpan DSP (B) Kenny Woodworth di Petaling
Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL

Botak Chin tidaklah berkepala botak sebaliknya nama itu adalah gabungan perkataan BO TAK CHIN dalam bahasa hokkien membawa maksud Tiada (BO) Kerja (TAK) CHINA (Chin) atau ‘jobless chinese’.

Botak Chin menganggotai sebuah kumpulan kongsi gelap yang dikenali sebagai Geng 360 sejak remaja dan berjaya ‘mencipta nama’ setelah terlibat dalam banyak insiden rompakan besar-besaran di Kuala Lumpur dan Selangor sekitar tahun 70-an.

Dia juga sangat ditakuti kerana sanggup bertindak kejam dan memiliki pelbagai koleksi senjata api, ribuan peluru hidup dan menyimpan bom tangan.

Pada September 1969, dia mula menubuhkan geng sendiri. Meraka melakukan lapan rompakan pada bulan itu sahaja tetapi akhirnya ditahan polis dan dipenjara tujuh tahun.

Selepas dibebaskan dari penjara, dia memulakan kehidupan baru sebagai sebagai penjual sayur namun ia langsung tidak memuaskan hatinya.

Oleh itu, Botak Chin kembali aktif dengan menubuhkan geng baru yang dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Teh Bok Lay (Seh Chai).

Mereka semakin aktif melakukan rompakan dan antara lokasi yang menjadi sasaran adalah seperti di pusat perjudian haram di Sentul, sebuah bank di Jalan Imbi Kuala Lumpur, kuil Cina di Jalan Kolam Ayer Kuala Lumpur, sebuah bar di Sentul, Kelab Kereta api Sentul dan juga di Kelab Lumba Kuda sekitar Kuala Lumpur.

Segala hasil rompakan digunakan untuk membeli sejumlah senjata api dan peluru di Thailand.

Kedudukannya sebagai ketua mula terancam oleh anggotanya sendiri, Ah Wong, dan Ketua Geng Lima Jari Gunung, Tua Pui Lek. Kedua dua mereka ditemui mati dipercayai ditembak oleh Botak Chin di kawasan lombong tinggal di Jinjang. Orang kanannya, Seh Chai, pula mati membunuh diri selepas dikepung polis di Jalan Alor.

Awal 1976 Botak Chin mengambil anggota baru, diikuti tiga rompakan dengan wang yang dilarikan kira-kira RM400,000. Pun begitu pada masa sama, tujuh orangnya mati ditembak selain ada yang ditangkap. Polis juga berjaya merampas senjata api, peluru dan bom.

CUBAAN BUNUH PEGAWAI POLIS

MGF25062020_OWGMG-DSPB-KENNY15-1024x683
DSP (B) Kenny Woodworth melihat gambar-gambar lama
sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota PDRM di Petaling
Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL

Pada 22 November 1975, sebuah kereta Datsun hijau yang dinaiki oleh Botak Chin dan ahli gengnya mengekori rapat sebuah kereta yang dinaiki oleh pegawai kanan polis, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Deputi Superintendan (DSP) S Kulasingam.

Pegawai berkenaan adalah sasaran mereka. Setiba di lampu isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling, kereta Datsun berkenaan bergerak pantas menghampiri kenderaan yang mereka ekori.

Sebanyak 18 tembakan dilepaskan bagi ‘menghapuskan’ DSP S Kulasingam. Bagaimanapun, tindakan itu gagal, sebaliknya pegawai polis itu masih berupaya memandu ke Balai Polis Cheras, tidak jauh dari lokasi tersebut walaupun tubuhnya bermandikan darah.

MAGNIFICIENT 12

MGF25062020_OWGMG-DSPB-KENNY08-1024x683
Antara gambar-gambar lama yang disimpan DSP (B) Kenny
Woodworth sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota
PDRM di Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL

Menurut Kenny, disebabkan peristiwa tersebutlah ‘Magnificient 12’ ditubuhkan dan Kenny adalah antara pegawai polis yang dipilih khas untuk menganggotainya.

“Akhbar guna perkataan ‘Magnificient 12’ tetapi saya sendiri lebih gemar menggelarkan kumpulan kami sebagai ‘Dirty Dozen’…ini kerana selain kami ada 12 orang, kami kadang-kadang keluar sampai empat ke lima hari kumpul dan cari maklumat.

“Adakalanya tak tidur, tak mandi kerana nak ikut pergerakannya (Botak Chin).

“Banyak kali kita ‘missed’ (terlepas) kerana dia ‘pandai’ dengan masuk ke tempat yang ramai orang, banyak orang Cina…jadi kita (polis) tak boleh nak melepaskan tembakan.

“Bila kami selalu kotor, tak mandi…jadilah ‘Dirty Dozen’,” kata Kenny tersenyum.

Bagaimanapun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Bak kata pepatah Melayu, pelanduk boleh lupakan jerat tetapi jerat tak mungkin melupakan pelanduk. Begitulah apa yang menimpa Botak Chin dan konco-konconya.

Setelah sekian lama menganalisis pergerakan serta merancang tindakan, akhirnya Kenny dan rakan-rakannya dalam ‘Magnificient 12’ berjaya menjejajaki tempat persembunyian penjenayah licik dan kejam itu.

SERBUAN KILANG PAPAN

MGF25062020_OWGMG-DSPB-KENNY09-1024x683
Antara keratan akhbar lama yang disimpan DSP (B) Kenny
Woodworth sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota
PDRM di Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL

Lokasi sasaran adalah sebuah kilang papan ‘Eng Leong Sawmill’ yang terletak di Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Pada 16 Februari 1976 iaitu pada pukul 8.40 malam, Kenny dan tiga rakan setugasnya iaitu Inspektor Bahwandi Hiralal, ASP M. Rajalingam dan Detektif Konstabel Lee Tet Chong telah bergegas ke lokasi sasaran dengan menaiki sebuah kereta.

Sebuah lagi pasukan yang disertai DSP Gilbert Ang, ASP Lim Meng Aw, ASP Chua Leng Kee, ASP Gui Pooh Choon, Inspektor Ong Kim Hock, Detektif Sarjan Chong Kam Hwa dan Detektif Koperal Leong See Fok turut berkejar ke sana.

Di sekeliling kilang papan tersebut, telah tersedia 120 orang anggota polis dari dua trup Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan 60 anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) yang tiba bagi mengawal tempat berkenaan.

‘Magnificient 12’ berpecah kepada dua kumpulan di mana Kenny pergi ke bahagian belakang kilang manakala yang lain membuat serbuan di bahagian hadapan.

Sebaik sahaja sampai di kawasan belakang, beberapa orang lelaki Cina yang berada di kilang itu ternampak kelibat Kenny lalu mereka mengejarnya.

Ketika ini salah seorang daripada mereka, yang memiliki pistol di kedua-dua tangannya, telah melepaskan tembakan liar ke arah Kenny namun ia tidak kena pada sasaran.

Serentak dengan itu, Kenny yang tidak menghiraukan keselamatan dirinya terus menghalakan senjata ‘sub machine gun’ jenis Sterling yang dibawanya ke arah lelaki-lelaki Cina tadi dan membalas tembakan.

Dalam keadaan kelam-kabut dengan peluru bersimpang-siur itu, Kenny terjatuh dan ketika ini Bahwandi serta Tet Chong melepaskan tembakan bagi memberi perlindungan padanya.

Melihat Kenny terjatuh, salah seorang daripada lelaki Cina tadi melemparkan sebutir bom tangan ke arah mereka bertiga namun mereka bernasib baik kerana bom tersebut tidak meletup.

Kenny kemudian sekali lagi mengangkat senjata Sterlingnya dan terus menghamburkan tembakan ke arah lelaki-lelaki Cina tadi hingga menyebabkan dua daripadanya mati di tempat kejadian!

MGF25062020_OWGMG-DSPB-KENNY10-1024x683
Antara keratan akhbar lama yang disimpan DSP (B) Kenny
Woodworth sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota
PDRM di Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL

Menurut Kenny, kedua-dua mayat itu kemudiannya dikenal pasti sebagai orang kanan Botak Chin iaitu Pangkor Chai dan Sakai Chai.

Namun, katanya, kedua-duanya bukan Botak Chin, sasaran utama mereka!

“Saya dapat tahu ada di antara peluru yang saya lepaskan melalui senjata saya tadi telah menembusi dinding papan dan mengenai tubuh Botak Chin.

“Tetapi Botak Chin yang berlumuran darah itu berjaya merangkak mencari tempat persembunyian hingga kita tak dapat menemuinya pada mulanya,” ujar Kenny.

Selepas itu, kata Kenny, sebuah pasukan lain masuk ke kilang tersebut untuk mencari penjenayah kejam yang licik itu.

Menurut Kenny, mereka akhirnya berjaya menemui Botak Chin yang terbaring berlumuran darah dengan kecederaan parah di bahagian kaki dan tangannya.

Ujar Kenny, Botak Chin sempat meminta air daripada salah seorang anggota polis tadi kerana mendakwa terlalu dahaga.

TANGKAL KEBAL

MGF25062020_OWGMG-DSPB-KENNY07-1-1024x683
Antara gambar-gambar lama yang disimpan DSP (B) Kenny
Woodworth sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota
PDRM di Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL

Tambahnya, selain pistol, jam mewah berjenama Rolex, barang kemas, dua keping gambar wanita dan wang tunai yang dirampas dari poket seluar dan baju yang dipakai Botak Chin, turut ditemui sejenis tangkal yang dia percaya ‘kebal’ dan boleh memberikan perlindungan diri kepadanya.

Ketika ditanya mengenai perkara tersebut, Kenny mengakui yang Botak Chin memang memiliki dan memakai pelbagai ‘tangkal kebal’ sepanjang dia melakukan jenayah..

“Selepas menembaknya, saya pergi jumpa dia di hospital dan dia mengaku membeli tangkal dari Indonesia dengan harga RM50,000.

“Saya kemudian mengambil tangkal itu dan ini membuatkan dia marah!

“Tetapi saya rampas juga (tangkal itu) dan jadikannya sebagai salah satu bahan ekshibit di mahkamah,” kata Kenny.

Selepas peristiwa berbalas tembak itu jugalah baru Kenny tahu yang selain Kulasingam, Botak Chin juga pernah mahu membunuhnya.

MGF25062020_OWGMG-DSPB-KENNY06-1-1024x683
Antara gambar-gambar lama yang disimpan DSP (B) Kenny
Woodworth sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota
PDRM di Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL

Malah katanya, Botak Chin mengakui yang penjenayah itu hampir-hampir berjaya membunuhnya selepas insiden serangan ke atas Kulasingam.

“Botak Chin cakap kat saya, pernah satu ketika dia sudah hampir melepaskan tembakan ke arah saya tetapi saya bernasib baik kerana kereta yang saya pandu berpusing hingga dia gagal mengesan kereta tersebut,” ujar Kenny.

Dalam pada itu, Kenny menegaskan yang beliau sebenarnya tidak menyimpan sebarang perasaan benci dan dendam terhadap penjenayah tersebut.

Ujarnya, apa yang berlaku dan terjadi antara beliau dan Botak Chin adalah perkara ‘profesional’, bukan bersifat peribadi kerana sebagai pegawai polis, beliau perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang tanpa mengira siapa si pelakunya.

MGF25062020_OWGMG-DSPB-KENNY13-1024x683
DSP (B) Kenny Woodworth melihat gambar-gambar lama
sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota PDRM di
Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL

Malah menurut Kenny, ketika di mahkamah, beliau sempat menasihati Botak Chin agar tidak mengaku salah begitu sahaja sebaliknya terus berjuang untuk mendapatkan pengadilan.

Ini kerana, menurut Kenny, seseorang penjenayah perlu menggunakan haknya di mahkamah untuk mencabar tindakan yang diambil terhadap mereka dan bukannya menyerah kalah begitu sahaja.

“Saya kata kat Botak Chin…kita ni dah bermusuh agak lama tetapi nasib kamu tidak baik hingga kena tembak…kenapa awak terus nak mengaku salah dan hendak membiarkan diri untuk digantung?

“Kamu lawanlah kes kamu di mahkamah…mana tahu kamu boleh terus hidup,” kata Kenny kepada Botak Chin.

‘ROBIN HOOD’

Mengenai persepsi masyarakat yang mendakwa Botak China sebagai ‘Robin Hood’, Kenny berkata, beliau kesal kerana ada yang sanggup memberi pengiktirafan tersebut kepada penjenayah licik ini.

Tegas Kenny, Botak Chin berjaya mengaburi pandangan masyarakat dengan memberi wang kepada orang miskin sedangkan itu hanya satu taktik untuk’berlindung’ di sebalik perbuatan jenayah yang dilakukannya.

MGF25062020_OWGMG-DSPB-KENNY16-1024x683
DSP (B) Kenny Woodworth melihat gambar-gambar lama
sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota PDRM
di Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL

“Dia hanya bagi dalam RM20 ke RM30 seorang sahaja, bukannya dia bagi beribu-ribu… tetapi saya tak pedulilah kalau ada yang terus hendak mengagungkan penjenayah itu, yang penting saya sudah menjalankan tugas saya.

“Biarpun ramai yang lebih mengenali Botak Chin, saya tak ada alasan untuk marah atau menyesal apatah lagi jika tiada yang mengenang jasa saya, ini kerana saya sendiri yang memilih untuk memasuki polis, saya terima saja apa saja keadaannya, saya suka kerjaya ini,” kata Kenny.

Selepas bersara daripada PDRM, Kenny telah dihubungi oleh jutawan Tan Sri Lim Goh Tong yang ketika itu mahukan beliau mengetuai pasukan keselamatan di taman tema Genting Highland milik taukeh kasino itu.

Kenny bagaimanapun memberitahu beliau hanya sempat berkhidmat di situ selama dua tahun kerana ia bertentangan dengan prinsipnya yang memang daripada dahulu tidak begitu menggemari hal-hal berkaitan dengan perjudian.

Perbualan kami hampir sejam kemudiannya terhenti apabila menyentuh mengenai kehidupan ‘barunya’ di rumah orang tua-tua ini.

KEMATIAN ISTERI

MGF25062020_OWGMG-DSPB-KENNY26-1-1024x683
DSP (B) Kenny Woodworth merehatkan diri sambil memeluk
gambar mendiang isterinya, Joan Sylvia Maureen Webb
di Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL

Dengan nada sayu, Kenny memberitahu kehidupannya ketika ini tidak lagi ‘sama’ seperti dahulu apatah lagi bila mengenangkan kematian isterinya yang tersayang.

Tambahnya, pemergian isterinya itu benar-benar meninggalkan kesan kerana mereka berdua saling sayang menyayangi walaupun tidak dikurniakan zuriat.

“Saya tak boleh lupakan dia (isteri)…saya puas hati dengan apa yang saya lakukan pada negara tetapi saya kesian (sedih) bila mengenangkan masa saya bertugas sebagai pegawai polis dulu, dia selalu tinggal berseorangan kerana tuntutan kerja saya, tetapi apa boleh buat.

“Akhir kata saya nak bagitahu, saya lahir di sini, saya nak mati di sini…keluarga saya ada banyak di luar negeri tetapi saya tak pergi pun…mereka minta saya datang ke England, Amerika Syarikat, New Zealand tetapi saya bagitahu mereka saya tak mahu…ini saya punya negeri,” katanya dalam nada perlahan.

MGF25062020_OWGMG-DSPB-KENNY04-1-1024x683
Temubual bersama DSP (B) Kenny Woodworth di Petaling
Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL

Setelah kira-kira sejam berada di rumah orang tua-tua persendirian itu, kami mengambil keputusan untuk beredar, apatah lagi bila melihat keadaan Kenny semakin keletihan.

Sebelum beredar, Kenny mengakui, beliau terpaksa mengeluarkan wang simpanan dan menggunakan duit pencen bulanannya untuk membiayai kehidupannya di rumah orang tua-tua persendirian itu namun beliau sendiri tidak mempunyai pilihan.

Ujarnya, sekurang-kurangnya di sini makan minumnya terjaga dan pihak pengurusan rumah tersebut boleh menghantarnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

WIRA TAK DIDENDANG

MGF25062020_OWGMG-DSPB-KENNY27-1024x683
DSP (B) Kenny Woodworth bergambar di Petaling Jaya,
Selangor. foto HAZROL ZAINAL

Apabila melihat tubuhnya terpaksa dipimpin untuk masuk ke dalam biliknya, kami seolah-olah tidak percaya yang lelaki tua itu satu ketika pernah dianggap antara pegawai polis terbaik yang pernah ada dalam PDRM, pernah satu ketika cukup ditakuti oleh penjenayah tegar dan pernah satu ketika pernah berbalas tembak secara berhadapan dengan Botak Chin.

Sayang, tak ramai yang tahu kisah wira yang tak didendang ini, tak ramai yang tahu kisah sedih yang menyelubungi insan hebat ini, tak ramai yang tahu betapa beliau sanggup menperjudikan nyawanya demi memastikan kita tidur lena dan Malaysia terus aman serta sejahtera.

Sesungguhnya kita dan negara terhutang budi padanya…DSP (B) Kenny James Woodworth! – Malaysia Gazette

VIDEO

https://www.youtube.com/watch?v=2D8HQhnw-4s

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.