CHINI – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dimeriahkan lagi dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Memasuki hari keenam hari ini, program turun padang Najib dimulakan dengan mendekati masyarakat Orang Asli dalam program Ziarah Kasih Batin Manda di Kampung Orang Asli Bendaling, Chini.
Turut hadir adalah calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain dan Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib.
Antara lain, bekas Pengerusi BN itu turut mendekati masyarakat Orang Asli Kanpung Tasik Mentiga, Chini dan penyerahan borang keahlian baru Ibu Tunggal DUN Chini di Dewan Semai Bakti Felda Chini 5.
Najib dijadualkan berada di Chini selama tiga hari sehingga Ahad depan.
“Saya sudah hubungi Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah untuk memastikan Tenaga Nasional Berhad untuk bekalkan elektrik sebab tiang elektrik sudah dipasang.
“Malah menteri turut mengarahkan TNB buat kerja serta merta supaya elektrik sampai ke rumah Orang Asli,” katanya ketika mengadakan ziarah terhadap masyarakat Orang Asli di Kampung Bendaling, Chini.
Najib berkata, projek bekalan elektrik di sini terhenti kerana penularan Covid-19 yang berkilau sejak penghujung tahun lalu.
Dalam pada itu, Najib melahirkan keyakinan bahawa Mohd Sharim akan menjadi wakil rakyat yang bagus untuk pengundi Chini.
“Calon boleh sambung legasi Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar dengan baik dan dia mampu tunjukkan kerja yang boleh memenuhi kehendak Chini.
“Dia paling sesuai untuk Chini. Saya yakin dia akan jadi wakil rakyat yang akan beri kerja senang hati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.