Khamis, 25 Jun 2020

Beku ambil pekerja asing baru, peluang baik warga tempatan

Manzaidi Mohd Amin
zulkiflipatriot-681x446
Mohd Zulkifli Abdul Fattah

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan memperhalusi dasar pekerja asing adalah langkah terbaik yang membuka ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, sekali gus meningkatkan sumber ekonomi dan kuasa beli dalam negara.

Justeru, Dewan Perniagaan Minoriti (MBC) menyambut baik langkah kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing baru, yang mana ketika ini lebih 2.3 juta orang bekerja di semua sektor di Malaysia.

Menurut Setiausaha Agungnya, Mohd Zulkifli Abdul Fattah, kerajaan juga dilihat komited untuk mengembalikan semula pekerjaan yang dirampas warga asing selama ini kepada rakyat tempatan.

“Sikap kebergantungan kepada pekerja asing selama ini telah mewujudkan persepsi yang salah mengenai kebolehan anak tempatan untuk bekerja dalam beberapa sektor.

“Majikan mula menganggap warga asing sebagai lebih produktif berbanding anak tempatan yang tidak diberikan peluang secukupnya untuk membuktikan kebolehan mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menyambut baik kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan pada Isnin, bahawa kerajaan tidak akan membenarkan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun ini.

Menurut Mohd Zulkifli, sektor pekerjaan yang dibenarkan bagi warga asing adalah perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan perlombongan/pengkuarian dan perkhidmatan.

Malah, katanya, warga asing yang pada mulanya datang hanya untuk bekerja dalam sektor itu telah diserap secara haram ke sektor lain seperti berniaga sendiri, membina penempatan dan paling teruk memonopoli beberapa industri.

“Puncanya, penguatkuasaan yang lemah, penyelewangan dan salah guna kuasa oleh pihak tertentu.

“Pekerja asing juga tidak diberikan latihan asas dan tidak mempunyai pendidikan berkelayakan. Ini dapat dilihat melalui kegagalan mereka berkomunikasi dengan rakyat tempatan, selain tahap kebersihan yang teruk di kawasan dikuasai mereka.

“MBC menyedari keperluan beberapa industri tertentu terhadap pekerja asing bagi memenuhi keperluan ekonomi, namun kebergantungan secara tidak terkawal telah menjejaskan peluang warga tempatan,” katanya.

Pada masa sama, MBC minta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertimbangkan cadangan berkaitan pengambilan pekerja asing secara langsung dari depoh tahanan imigresen.

Menurut beliau, tahanan itu adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang selama ini bekerja atau berniaga di negara ini tanpa dokumen sah.

“Mereka perlu dilihat sebagai kelompok yang melanggar undang-undang negara dan tidak perlu diberikan peluang kedua untuk berada di negara ini.

“Cadangan ini tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian kepada isu lambakan pekerja asing dan akan menyekat peluang anak tempatan dalam beberapa sektor.

“Mereka perlu dihantar pulang ke negara asal. Jika perlu ambil pekerja asing, pastikan mereka yang tidak pernah melanggar undang-undang negara dan diberikan latihan, pendidikan dan pengalaman secukupnya dalam sektor berkaitan,” katanya.

Ujar beliau, KDN perlu berhenti mengambil jalan mudah mencari penyelesaian dalam isu itu kerana mengapa perlu tangkap, tahan dalam depoh kemudian dibenarkan bekerja semula?

Tegasnya, apakah sektor ekonomi negara terlalu bergantung kepada warga asing sehingga anak tempatan tidak diberikan peluang langsung?

“Isu ini telah berterusan sekian lama. Pemimpin sebelum ini melihat isu ini sebagai masalah yang sangat sukar ditangani. Oleh sebab itu, kenyataan Saravanan ini harus dipuji kerana kerajaan telah mula mengambil serius isu lambakan pekerja asing di negara ini.

“MBC berharap warga tempatan mengambil peluang pekerjaan yang ada dan bantu kerajaan mengurangkan pengambilan pekerja asing. Yang penting, pekerjaan kita dikembalikan kepada kita,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.