Di tengah-tengah keadaan politik negara yang tidak stabil, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat partinya telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU ke-15.
Kesediaan itu dinyatakannya selepas menerima kunjungan bekas perdana menteri Najib Razak di kediamannya malam tadi.
"Kami sudah siap siaga untuk PRU15. Adakah anda semua sudah bersedia bersama kami?" katanya di Facebook hari ini.
Kenyataan itu di saat kemelut peringkat Persekutuan yang masih berterusan, dengan PH, Dr Mahathir Mohamad dan Warisan mendakwa memiliki majoriti untuk merebut kembali kuasa dari Perikatan Nasional (PN).
PN mengambil alih Putrajaya pada Mac lalu setelah Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar dari PH untuk membentuk kerjasama baru dengan Umno, BN dan PAS, dengan sokongan GPS.
Mengulas kenyataan Zahid itu, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu A Kadir Jasin mempersoalkan jika kenyataan itu bermaksud Umno merancang untuk mencetuskan pilihan raya.
"Adakah Umno-BN sudah bersedia menjatuhkan kerajaan Melayu-Islam PN pimpinan Muhyiddin bagi memaksa PRU ke-15 diadakan lebih awal?
"Atau adakah kedua-dua mereka hendak membayangkan dan meyakinkan penyokong bahawa mereka akan lepas kes jenayah di Mahkamah?" kata Kadir di Facebook.
Zahid dan Najib sedang berdepan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Pilihan raya mungkin berlaku sekiranya PH atau Umno-PAS bergerak menentang Muhyiddin, sekaligus menyaksikan kali kedua kerajaan semasa hilang majoriti dalam tempoh empat bulan.
Sekiranya Muhyiddin hilang majoriti, beliau mesti meletakkan jawatan sekiranya Agong tidak berkenan untuk membubarkan Parlimen.
Mahathir, yang kini menentang kepimpinan Muhyiddin dalam Bersatu, pernah berkata parti itu akan berdepan kehancuran dalam PRU akan datang jika tidak kembali kepada PH.
Ini kerana Umno dan PAS hampir pasti tidak akan melepaskan kerusi untuk Bersatu bertanding.
Kadir berkata lagi, Muhyiddin telah meletakkan Umno dan PAS dalam kekuatan untuk menentukan nasib Kerajaan PN apabila melantik mereka ke jawatan penting seperti menteri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Dalam bahasa mudah, Muhyiddin dan kemnya dalam Bersatu bergantung hayat kepada Umno dan Pas.
"Mampukah Bersatu kem Muhyiddin menentang PH dan Muafakat Nasional dalam PRU akan datang?" soalnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.