Jumaat, 29 Mei 2020

Penggabungan Umno-PPBM tak mungkin, kata penganalisis

Penganalisis berkata, pemimpin Umno dan PPBM, dari peringkat akar umbi
ke peringkat tertinggi, terpaksa memberi laluan kepada satu sama lain.

PETALING JAYA: Dua penganalisis politik menolak kemungkinan penggabungan Umno dan PPBM dalam masa terdekat walaupun mempunyai persamaan dalam agenda politik mereka.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia dan James Chin dari Institut Asia, Universiti Tasmania berkata, penyatuan Umno dengan parti serpihannya tidak mungkin berlaku kerana ia menuntut kompromi berhubung kedudukan dalam parti.

Azmi berkata, pemimpin kedua-dua parti, dari peringkat akar umbi ke peringkat tertinggi, terpaksa memberi laluan kepada satu sama lain.

“Sukar bagi pemimpin Umno bahagian, misalnya, untuk berkongsi kuasa dengan pemimpin PPBM kerana mereka telah melalui kesukaran politik selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya umum ke-14.

“Mereka perlu berkongsi kuasa, dan dalam kes tertentu, memberi laluan kepada bekas ahli Umno yang meninggalkan parti.”

Dalam satu kenyataan media, naib presiden Umno Khaled Nordin baru-baru ini berkata, Umno tidak pernah menutup pintu terhadap sebarang cadangan PPBM untuk “bersatu semula” dengan parti itu.

Azmi Hassan

Azmi berkata, kerjasama seperti yang wujud antara Umno dan PAS adalah lebih munasabah berbanding penggabungan.

Katanya, jika penggabungan berlaku, maka PPBM akan rugi kerana akar umbi akan lebih cenderung kepada pemimpin Umno.

Beliau berkata, sebagai perdana menteri, Muhyiddin Yassin berkemungkinan besar akan menjadi presiden Umno, walaupun untuk kekal di jawatan itu adalah persoalan lain kerana terdapat beberapa pemimpin Umno yang juga layak menjadi ketua kerajaan.

“Saya tidak nampak ia akan berlaku. Selepas bergabung akan tercetus pertelingkahan berhubung kedudukan dalam parti dan pembahagian kerusi. Dari peringkat tertinggi hingga ke bawah.”

James Chin

Chin dalam pada itu berkata, Muhyiddin sudah tentu akan memberi perhatian kepada usaha untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai perdana menteri.

“Pemimpin PPBM akan rugi besar jika berlaku penggabungan kerana parti mereka lebih kecil, sementara jentera dan akar umbi baik Umno atau PAS lebih kuat,” katanya.

“Pemimpin tertinggi PPBM tidak mahukan penggabungan kerana kedudukan mereka dalam parti gabungan menjadi berisiko. Pada masa sekarang mereka akan menolak cakap-cakap mengenai penggabungan. Pada masa depan, keadaan mungkin berubah.

Bagaimanapun katanya, ahli Parlimen PPBM mungkin bersedia menerima idea penggabungan sekiranya mereka dicalonkan semula ke kerusi masing-masing kerana bertanding menentang Umno dan PAS dalam pilihan raya akan datang boleh menyaksikan mereka tersingkir.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.