Rabu, 1 April 2020

Tiada bazar Ramadan di Selangor

Norzamira Che Noh
 
GAMBAR hiasan
 

KERAJAAN Selangor membuat keputusan membatalkan bazar Ramadan di negeri itu buat ketika ini susulan penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembatalan bazar Ramadan itu dilakukan selepas perbincangan dilakukan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, hari ini.

“Kita akan batalkan bazar Ramadan di seluruh Selangor sehingga masa bersesuaian ditetapkan.

“Jika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri memberi saranan ia boleh dilaksanakan, kita akan lakukan tetapi buat masa ini kita batalkan terlebih dulu,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada pemberita pada majlis pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di Shah Alam, hari ini.

Katanya, perkara itu dibincangkan pagi tadi dan arahan pembatalan akan dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Saya juga sudah berbincang dengan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara atas talian dan mendengar cadangan mereka mengenai isu ini.

“Saya percaya nanti, mungkin akan ada bazar Ramadan atas talian, kerana akan ada keupayaan untuk penghantaran atas talian,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.