Isnin, 27 April 2020

Rohingya: Khalid tak faham-faham – Najib

BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, masih tidak memahami hakikat sebenar yang dihadapi negara berhubung isu pelarian Rohingya.

Malah, beliau dilihat tersebut mengecam kerajaan terdahulu dan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menyifatkan mereka sebagai berpura-pura.

Hal demikian dipersoal Najib apabila Khalid dipercayai tidak mengetahui implikasi yang bakal dihadapi negara sekiranya terus menerima pelarian Rohingya.

Sebaliknya, Khalid terus dilihat cuba menjadi hero dan tidak dapat membezakan situasi yang dihadapi negara sekarang berbanding dahulu.

Menurut Najib, tindakan Khalid menerusi ciapan di Twitternya seolah-olah mahu mencari peluang mengecam beliau dan parti Pas.

“Ini contoh pemimpin PH yang langsung tak faham situasi sebenar. Tak faham dari mana bot pelarian berasal dan kenapa mereka nak lari, situasi kini amat berbeza dengan situasi dahulu.

“Tak faham implikasi jangka panjang kepada negara serta kepada nasib ribuan Rohingya yang bakal bertarung nyawa lari dari kem pelarian UNHCR Cox’s Bazar ke Malaysia,” katanya dalam Facebook hari ini.

Khalid dalam Twitternya mengecam tindakan Najib dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang didakwanya lupa terhadap solidariti Rohingya.

Katanya, ketika negara dilanda pandemik Koronavirus (Covid-19) beliau terus menganggap pemipin negara dan parti politik itu sebagai enggan membantu pelarian Rohingya.

“Namun iman senipis kulit bawang. Bila diuji dengan sedikit kesusahan, berterabur.. lupa habis,” ciapnya dalam Twitter.

Dalam kenyataan sama, Najib turut menjelaskan risiko bagi etnik Rohingya apabila meninggalkan kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh.

“Tahukah Lid bahawa ada juga bot yang karam sebaik sahaja mereka meninggalkan Cox Bazar untuk tuju ke Malaysia? Tak sempat keluar dari perairan negara Bangladesh pun dah karam sehingga ramai yang terkorban.

“Lid masih mahu hantar isyarat kepada mereka di sana bahawa Malaysia akan menerima semua bot bagi menggalakkan mereka meninggalkan kem UNHCR yang lebih selamat untuk bertarung nyawa?” soalnya. – SM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.