Khamis, 2 April 2020

Kesan baik PKP rapatkan hubungan kekeluargaan

ainulillia

 

Ada keluarga tak bernasib baik tinggal dalam suasana kurang kondusif

BANGI – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana bagi memerangi wabak COVID-19, wajar dijadikan peluang untuk membaiki serta memperkukuhkan institusi kekeluargaan.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, PKP membuka minda masyarakat bahawa ada satu institusi (keluarga) yang mungkin sebelumnya tidak dipandang berat atau terlepas pandang, kini perlu diberi perhatian bagi membina keluarga yang sihat dan sejahtera.

Justeru, katanya, dari satu sudut, PKP dapat dilihat membawa kesan positif apabila orang ramai boleh duduk di rumah bersama dengan keluarga masing-masing. 

“Walaupun kebanyakan institusi keluarga masih utuh, tapi ia serba sedikit telah dihakis oleh nilai-nilai kehidupan Barat yang semakin berpengaruh terutama apabila adanya media sosial. 

“Bila kita terpaksa berkurung dengan keluarga, ibu bapa dapat mendidik anak-anak, meluangkan masa bersama anak-anak,” katanya dalam program Pertiwi Eksklusif yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Mengulas mengenai kebangkitan isu pembahagian tugas antara lelaki dan wanita di dalam rumah, beliau menegaskan, masyarakat perlu sedar kedua-duanya ada kekuatan dan kelemahan, baik lelaki mahupun perempuan. 

“Bila isteri banyak melakukan kerja rumah, bukan bermaksud suami tidak membantu. Tetapi dalam konteks yang sebenar, ia sesuai dengan fitrah kejadian masing-masing. 

“Bila berlaku PKP, maka perlulah wujudkan kerjasama, faham memahami, kukuhkan komunikasi sesama adik-beradik dan ibu bapa,” katanya.

Pada masa sama, Ustaz Hazizi tidak menafikan bahawa terdapat juga kesan negatif daripada PKP, terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan atau yang tinggal dalam suasana tidak kondusif.

“Di samping peluang mendekatkan hubungan antara keluarga, perlu diakui ada realiti negatif yang perlu ditanggapi dengan baik. 

“Ada situasi tertentu yang tidak kondusif untuk sesebuah keluarga, lagi-lagi yang tinggal di rumah yang kecil kaki perseginya. Menjadikan rumah itu ‘cramp’. 

,”Rumah itu pada asalnya jadi tempat tidur sahaja. Tapi dalam PKP ini kita terpaksa duduk di rumah, jadi sukar nak dikawal keadaan itu.

“Emosi manusia pun sukar dikawal, termasuk komunikasi antara anak-anak dan ibu bapa dan sebagainya. Itu perkara yang terpaksa dihadapi oleh mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.